Home Sukan Stadium selamat walau tiada CF

Stadium selamat walau tiada CF

Kevin Ramalingam bercakap pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pengelola Kedua Perlawanan Akhir Shopee Piala FA Malaysia 2019 di Bilik Sidang Media, Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 22 JULAI 2019

KUALA LUMPUR – Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Football League (MFL), Kevin Ramalingam menegaskan keadaan stadium di seluruh negara berada dalam keadaan selamat biarpun tidak memiliki sijil pematuhan kod (CCC) atau dikenali sebagai sijil layak menduduki (CF) daripada pihak kerajaan negeri atau Jabatan Kerja Raya (JKR).

Ini kerana Kevin menegaskan stadium-stadium di seluruh negara sebelum ini tidak diwajibkan untuk memohon CCC atau CF berdasarkan peraturan kerajaan terdahulu.

Kevin menegaskan projek pembinaan oleh kerajaan sentiasa menitikberatkan soal keselamatan rakyat di mana elemen penting pembinaan stadium telah mengikut perancangan biarpun tiada CCC atau CF.

“Saya tidak tahu kalau semua pihak faham bahawa ada satu peraturan dahulu di mana jika satu pembinaan itu dibina oleh JKR, maka CCC atau CF tidak diperlukan.

“Kemungkinan ada perubahan yang dilakukan dalam peraturan itu tetapi bagi saya, peraturan dahulu lebih longgar dan tidak perlukan CCC atau CF.

“Kita tidak boleh mengatakan stadium itu tidak selamat sebab tiada CCC atau CF kerana peraturan itu tidak diperlukan pada satu ketika dahulu.

“Sudah tentu pada masa sekarang kita sendiri sebagai MFL juga menggesa pasukan-pasukan mendapatkan pengiktirafan daripada segi CCC atau CF tetapi kita harus tengok dan tidak boleh mengatakan semua stadium di Malaysia tidak selamat disebabkan tiada CCC atau CF.

“Ini kerana stadium-stadium ini dibina dengan selamat dan tiada keperluan (untuk mendapatkan CCC atau CF) pada waktu itu,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Dalam perkembangan sama, Kevin mengakui MFL telah menggesa pihak pengurusan stadium berusaha meminta pengiktirafan daripada kerajaan negeri atau JKR dalam mendapatkan CCC atau CF.

Bagaimanapun, Kevin sekali lagi menggesa agar semua pihak mengubah mentaliti kononnya sebahagian stadium-stadium di seluruh negara berada dalam keadaan tidak selamat disebabkan tiada CCC atau CF.

“Ya, sekarang stadium itu sudah sedikit lama dan perlu dipertambahbaik tetapi kita tidak boleh ada pemikiran mengatakan stadium-stadium sudah tidak selamat disebabkan tiada CCC atau CF.

“Tiada CCC atau CF itu sebenarnya daripada peraturan kerajaan sejak dari dahulu lagi. Jadi, harap perkara ini tidak dijadikan satu isu yang besar dan boleh diselesaikan.

“Saya sendiri pernah tengok stadium yang tidak ada CCC atau CF yang diberikan daripada kerajaan negeri atau JKR negeri tetapi perkara itu cuma perlu mendapat permintaan daripada pihak yang menguruskan stadium itu.

“Sekarang kesemua pasukan menyedari kepentingan itu dah sudah ada beberapa pihak pengurusan stadium berusaha untuk mendapatkan CCC atau CF kerana ia juga antara kriteria dalam Pelesenan Kelab di bawah Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM),” ujarnya. – MalaysiaGazette