WASHINGTON – Tentera Laut Amerika Syarikat (AS) mengakui buat pertama kali bahawa tiga rakaman video objek terbang tidak dikenali (UFO) yang didedahkan bekas penyanyi Blink-182, Tom DeLonge dan disiarkan The New York Times adalah objek ‘tidak dikenalpasti’ tulen.
“Tentera Laut mempertimbangkan fenomena yang terkandung dalam tiga video itu sebagai tidak dikenalpasti,” kata jurucakap Tentera Laut, Joseph Gradisher kepada The Black Vault, laman sesawang yang didedikasikan untuk dokumen kerajaan yang dinyah rahsia.
Gradisher menambah, terminologi “Fenomena pandangan udara tidak dikenalpasti’ digunakan kerana ia menyediakan penjelasan asas penemuan/pemerhatian pesawat atau objek yang tidak dikenalpasti yang dilihat memasuki atau beroperasi dalam pelbagai ruang udara kawasan latihan yang dikuasa tentera,” katanya.
Kenyataan tersebut menguatkan lagi laporan media. Fox News menghubungi Tentera Laut untuk mendapatkan ulasan tambahan untuk beritanya itu.
Video FLIR1, Gimbal dan GoFast pada asalnya disiarkan The New York Times dan DeLonge kepada The Stars Academy of Arts & Science (TTSA).
Pada Disember 2017, Fox News melaporkan Pentagon secara rahsia mewujudkan satu program untuk menyiasat UFO berikutan permintaan bekas Senator, Harry Reid.
Pada Jun 2019, Reid, yang kini telah bersara, melahirkan hasratnya kepada wakil rakyat untuk mengadakan prosiding awam berkenaan ‘apa yang tentera tahu’.
“Mereka akan terperanjat bagaimana masyarakat AS akan menerimanya,” katanya dalam temu ramah dengan stesen radio Nevada.
“Penduduk dari negeri mereka akan menerimanya,”.
Video pertama objek tidak dikenalpasti itu dirakam pada 14 November 2004 dan dirakam oleh kamera yang terdapat pada pesawat pejuang F-18.
Video kedua dirakamkan pada 21 Januari 2015 dan menunjukkan salah sebuah kederaan udara lain, dengan juruterbang mengulas bagaimana peliknya kenderaan itu.
Video ketiga yang juga dirakam pada 21 Januari 2015 namun tidak jeklas sama ada ia adalah objek yang sama ataupun kenderaan udara lain.
John Greenewald, Jr yang menyiarkan The Black Vault memberitahu Motherboard bahawa beliau terkejut pada bahasa yang digunakan tentera laut dalam kenyataan rasminya itu.
“Saya menjangkakan bahawa apabila tentera AS menyiarkan video itu, mereka akan menyelaraskan dengan bahasa yang kami lihat pada dokumen rasmi yang kini telah didedahkan, dan mereka akan melabelkan ia sebagai ‘dron’ atau ‘belon'” kata Greenwald kepada media itu.
“Bagaimanapun mereka tidak (melakukannya). Mereka bermula dengan menyatakan ‘fenomena’ itu, menggambarkan video tersebut adalah ‘tidak dikenalpasti’. Ia membuatkan saya sangat terkejut, teruja dan bersemangat untuk mencari kebenaran,”.
Sebelum ini, Luis Elizondo, bekas ketua Program Pengenalan Ancaman Aeroangkasa Terkini (AATIP) kendalian Pentagon berkata, orang ramai sepatutnya mengambil perhatian terhadap ulasan kerajaan mengenai UFO itu.
“Apa yang ditemui juruterbang pada hari itu membolehkannya menentang semua logik dan pengatahuan kita tentang aerodinamik,” tulis Elizondo kepada Fox News pada 2004 mengenai penemuan juruterbang Tentera Laut AS yang menyaksikan objek di persisir San Diego.
“Selain itu, melangkau apa yang juruterbang itu nampak dengan matanya, mereka mendapati pencapaian teknologi yang dikenalpasti oleh radar SPY-1, sistem radar utama Amerika pada masa itu malah rakaman daripada kamera pesawat dan sistem sonar dari kapal selam yang mengiringi kapal pengangkut pesawat,”.
Terdahulu pada tahun ini, Tentera Laut mengeluarkan garis panduan mengenai rahsia baharu tentang bagaimana untuk melaporkan ‘tindak balas kepada pesawat canggih yang tidak dikenalpasti yang terbang berhampiran sekumpulan pesawat Tentera Laut atau kemudahan sensitif lain’.
Pada Jun lalu, Jabatan pertahanan memberi taklimat kepada Naib Pengerusi Jawatankuasa Perisikan Senat, Mark Warner dan dua senator lagi sebagai sebahagian daripada apa yang dilihat usaha untuk memaklumkan kepada ahli politik mengenai penemuan pesawat tidak dikenali oleh Tentera Laut.
Menurut laporan Politico, jurucakap Warner menyatakan bahawa para Senator itu mahukan siasatan keselamatan yang menyelubungi ‘gangguan yang tidak dapat dijelaskan’ yang dihadapi juruterbang Tentera Laut dilakukan.
Presiden Donald Trump berkata, beliau telah diberi taklimat berhubung laporan objek terbang tidak dikenalpasti yang dilihat juruterbang Tentera Laut itu tetapi kekal mencurigai kewujudan UFO. – Agensi