JAKARTA – Presiden Indonesia Joko Widodo (Jokowi) berkata Indonesia kini melakukan “segala-galanya” dalam usaha menangani kebakaran hutan dan ladang yang menyebabkan berlakunya jerebu teruk di beberapa wilayah di republik itu.
“Segala upaya kita lakukan untuk menghentikan kebakaran…,” katanya dipetik menerusi ciapan twitter dan akaun instagram rasminya,.
Beliau turut memuat turun gambarnya yang meninjau operasi memadam kebakaran di Desa Merbau, Kecamatan Bunut, Kabupaten Pelalawan, Riau.
Jokowi berkata beliau juga mengarahkan sebanyak 5,600 anggota pasukan pemadam kebakaran tambahan ke wilayah Riau.
Ketika ini lebih 10,000 petugas pemadam kebakaran termasuk polis dan tentera bertungkus lumus memadamkan kebakaran di Riau, Jambi dan Kalimantan.
Beliau berkata sebanyak 52 pesawat pengebom air juga akan digunakan untuk operasi itu selain operasi pembenihan awan.
Semalam, memetik laporan media tempatan, jerebu itu bukan sahaja menyusahkan rakyat tempatan, malah kini merentasi sempadan dan menjejaskan negara jiran.
Jokowi berkata pemerintah akan mengambil tindakan tegas terhadap individu atau syarikat yang menyebabkan berlakunya kebakaran.
Sejak Januari lepas, lebih 42,000 hektar hutan dan ladang terbakar di beberapa provinsi di Indonesia seperti di Riau, Jambi dan Kalimantan.
— BERNAMA