KUALA LUMPUR – Tan Sri Annuar Musa hari ini menyindir Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang didakwa berada di belakang penganjuran Kongres Maruah Melayu tetapi tidak berani untuk berterus terang.
Setiausaha Agung UMNO itu mendakwa kongres itu dikendalikan oleh ‘geng’ Bersatu.
Sambil menyoal motif kongres tersebut, secara sinikal beliau berkata, tidakkah kongres yang diadakan itu satu aktiviti rasis terutama di mata DAP dan penyokong-penyokongnya.
“Setelah terus menerus memecah belahkan Melayu,memberi gambaran buruk pada institusi Melayu, menganiayai pemimpin dan parti-parti Melayu, belot pada mandat Melayu, menghina himpunan Melayu, menuduh Melayu sebagai itu dan ini, tiba-tiba baru nak berkongres??…itupun secara nak bersembunyi di sebalik nama orang lain!!
“Inilah situasi orang Melayu sekarang. Ada kuasa tapi masih meraba-raba di saat orang lain sedang meratah segala yang ada di depan mata mereka!,” katanya dalam satu hantaran melalui akaun Facebooknya.
Penganjuran Kongres Maruah Melayu itu sudah tular di media sosial selepas satu gambar dipercayai dirakam dalam satu mesyuarat jawatankuasa tersebar.
Dalam gambar tersebut kelihatan Datuk Seri Hamzah Zainuddin dan Datuk Abdul Latif Ahmad – antara bekas pemimpin UMNO yang lompat parti dan menyertai Bersatu.
Tegas Annuar, kongres yang akan diadakan itu hanya menambah kekeliruan orang Melayu.
Katanya, silap gaya kongres itu akan jadi medan Melayu kutuk Melayu dan medan perpecahan Melayu.
Akhirnya, ia jadi bahan ketawa bukan Melayu.
“Fikir fikirkanlah wahai anak Melayu..jangan sampai dicemuh anak cucu…yang Melayu itu sentiasa lupa..dan Melayu itu sudah menjadi satu bahan kajian Pusat Penyelidikan Universiti dan orang politik Melayu sudah hilang jati diri dan keberanian untuk mengutamakan orang Melayu.
“Silap langkah, mereka sekadar alat bukan Melayu memanjangkan perpecahan Melayu!,” katanya yang turut mempersoalkan tema kongres berkenaan Berani, Tegas, Taqwa tetapi hakikatnya penganjur yang juga dalam kalangan kerajaan dan politik takut untuk berdiri dan berdepan secara realiti. – MalaysiaGazette