GOMBAK – Gagasan Rahmatan Lil Alamin yang hendak diterjemahkan ke dalam pentadbiran kerajaan bukanlah satu pertandingan ke neraka.
Sebaliknya, konsep tersebut perlu dijadikan sebagai satu dasar yang boleh menjadikan negara ini terus maju ke hadapan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mujahid Yusof.
“Dia bukan pertandingan, ia tentang satu dasar yang mahukan negara ini maju ke depan.
“Jadi saya tiada hasrat dan keinginan langsung untuk menyaingi perkara yang bagi saya pertandingan ke neraka tapi saya mahu pertandingan ke syurga,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan ucaptama sempena Seminar Antarabangsa Rahmatan Lil Alamin di Universiti Islam Antarabangsa (UIAM) di sini, hari ini.
Mujahid menjawab soalan wartawan apabila ditanya sama ada konsep tersebut mampu menandingi penyatuan ummah yang sedang dilakukan oleh UMNO dan Pas.
Meyakini bahawa gagasan tersebut tidak mungkin mengubah kesedaran masyarakat di seluruh negara, Mujahid berkata, setidak-tidaknya langkah melaksanakannya telah pun bermula.
Katanya, beliau berharap pembentangan mengenai perkara tersebut yang akan dibukukan akan menjadi mercu tanda terhadap kesedaran masyarakat dengan penglibatan golongan intelektual yang menyokong usaha berkenaan.
Ujarnya, langkah itu boleh dijadikan contoh agar universiti-universiti lain turut melakukan perkara sama dalam usaha memperkasa gagasan yang dibawakan.
Katanya lagi, satu resolusi akan dicapai dihujung pembentangan dan akan dibentangkan ke Majlis Jemaah Menteri (MJM) dan Majlis Keselamatan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) sebelum diterjemahkan secara keseluruhan menerusi program-program pada tahun depan.
Sementara itu, Mujahid dalam ucapan perasmiannya berkata, gagasan tersebut bukanlah perkara baru yang tiba-tiba muncul, sebaliknya ia telah disebut dalam manifesto Pakatan Harapan (PH) sebelum memenangi pilihan raya.
Menurutnya, falsafah pentadbiran PH adalah berasaskan kepada lunas-lunas Perlembagaan, Rukun Negara, memperkasakan reformasi dan idea-idea pembangunan yang progresif dan demokratik.
“Semua matlamat ini adalah bersendikan kepada Maqasid Syariah yang akhirnya akan membawa kepada rahmat dan keadilan buat semua rakyat Malaysia,” ujarnya.
Seminar berkenaan yang telah berlangsung selama seminggu disertai pembentang-pembentang dari beberapa universiti antaranya dari Brunei, Indonesia, Universiti Oxford United Kingdom, Universiti Fatoni Thailand dan Majlis Ugama Islam Singapura. – MalaysiaGazette