Home Nasional BH buat laporan polis tentang artikel palsu

BH buat laporan polis tentang artikel palsu

KUALA LUMPUR – Akhbar BH hari ini membuat laporan polis di Balai Polis Pantai mengenai artikel palsu yang mengubahsuai artikel asal BH Online mengenai penutupan semua sekolah di Selangor kepada penutupan semua kilang di Selangor.

Menurut kenyataan The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad, tindakan itu diambil untuk menjaga kredibilti akhbar BH kerana artikel palsu berkenaan mengguna susun atur BH Online serta mengekalkan nama pemberita BH yang membuat laporan
asal.

“Artikel asal bertajuk “Semua sekolah di Selangor diarah tutup esok dan Jumaat” berikutan cuaca jerebu telah dikeluarkan di dalam BH Online pada jam 6.13 petang semalam.

“Manakala artikel palsu bertajuk “Semua kilang di Selangor diarah tutup esok dan Jumaat” disebarkan melalui aplikasi Whatsapp bermula pagi ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut kenyataan itu, BH berharap pembaca tidak terkeliru dengan laporan palsu itu dan tidak mengaitkan kandungannya dengan akhbar ini. – MalaysiaGazette