PUTRAJAYA – Kementerian Sumber Manusia menyarankan majikan supaya melaksanakan dasar kerja fleksibel dengan membenarkan pekerja menjalankan tugasan dari rumah masing-masing berikutan keadaan jerebu yang berterusan.
Kementerian itu menyatakan bahawa perkara itu telah dibangkitkan dalam mesyuarat Kabinet semalam, yang mana ia adalah tanggungjawab utama majikan dalam memastikan keselamatan dan kesihatan pekerja di tempat bekerja.
“Adalah penting majikan untuk menjalankan penilaian risiko dan melaksanakan langkah-langkah yang sewajarnya termasuk menentukan keperluan untuk datang bekerja, bagi memastikan risiko yang dikenal pasti dapat dikurangkan,” menurut kementerian itu dalam satu kenyataan hari ini.
Selain mematuhi Garis Panduan bagi Pengenalpastian Bahaya, Penaksiran Risiko dan Kawalan Risiko (HIRARC), majikan juga digalakkan untuk melaksanakan dasar kerja fleksibel seperti membenarkan pekerja menjalankan tugasan dari rumah sekiranya keadaan menjadi lebih berbahaya kepada kesihatan dan mereka.
“Undang-undang perburuhan di Malaysia tidak melarang majikan daripada menentukan tempat pekerjaan selain daripada yang dinyatakan dalam kontrak pekerjaan seperti rumah pekerja, bergantung kepada keadaan tertentu seperti jerebu atau banjir, sebagai langkah sementara sehingga keadaan kembali selamat,” menurut kenyataan itu lagi.
Di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, 1994 (OSHA), Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) boleh mengarahkan sebarang aktiviti pekerjaan yang terjejas akibat jerebu dihentikan dalam keadaan di mana menimbulkan bahaya kepada keselamatan dan kesihatan pekerja.
Mana-mana majikan yang didapati tidak mematuhi Arahan Menghentikan Kerja dibawah OSHA boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya dan denda selanjutnya sebanyak RM500 bagi setiap hari yang kesalahan tersebut berterusan.
Kementerian juga menyarankan majikan supaya memulakan persediaan bagi melindungi keselamatan dan kesihatan pekerja terhadap kesan jerebu termasuk mengenalpasti pekerja yang berisiko seperti pekerja dengan masalah jantung atau penyakit pernafasan dan menentukan kriteria untuk menghentikan kerja luar.
Majikan juga harus memastikan pekerja dengan gejala perubatan yang terkesan dengan jerebu seperti gatal tekak dan batuk, mata merah dan berair, bersin, kulit gatal dan kesukaran bernafas agar segera mendapatkan rawatan perubatan.
Majikan juga harus mengenalpasti jenis kerja luar bangunan untuk dikurangkan, menjalankan ujian pernafasan untuk pekerja yang perlu bekerja di luar, memastikan topeng muka N95 dipakai, meningkatkan kecekapan peranti pembersihan udara di tempat kerja serta melaksanakan sistem komunikasi jerebu antara majikan dan pekerja.
— BERNAMA