Home Akhbar Cina Selat Melaka penuh ikan, tetapi jerebu halang nelayan ke laut

Selat Melaka penuh ikan, tetapi jerebu halang nelayan ke laut

Dengan jarak penglihatan kurang daripada satu batu nautika, ramai nelayan memilih untuk tidak keluar laut demi mengelakkan kemungkinan berlaku kemalangan, khususnya pelanggaran dengan kapal besar. - foto hiasan

TELUK INTAN – Dengan jarak penglihatan kurang daripada satu batu nautika, ramai nelayan memilih untuk tidak keluar laut demi mengelakkan kemungkinan berlaku kemalangan, khususnya pelanggaran dengan kapal besar.

Pengerusi Persatuan Makanan Laut Hutan Melintang di Perak, Li Qiu Shui berkata, jerebu tebal menyelubungi laut dari Isnin hingga Rabu dan keadaan itu dianggarkan menyebabkan lebih 60 peratus nelayan laut dalam dari Perak memilih untuk tidak beroperasi.

Katanya, jumlah kerugian yang dialami dianggarkan mencecah jutaan ringgit terutamanya kerana Selat Melaka penuh dengan hasil laut pada masa ini.

Menurutnya, harga ikan di pasaran juga akan melonjak jika keadaan berjerebu berterusan.

“Pelanggaran mudah berlaku jika berlaku kecuaian khusunya dalam keadaan berjerebu.

“Ramai yang mungkin tidak sedar bahawa pelbagai jenis kapal termasuk bot nelayan,  kapal kargo dan feri lalu lalang di laut. Kemalangan boleh menyebabkan kerosakan malahan mengorbankan nyawa,” katanya kepada China Press.

Qiu Shui berkata, hasil ikan sebenarnya sangat lumayan di Selat Melaka pada masa ini kerana faktor angin monsun yang menyebabkan air laut lebih nyaman.

“Setiap kapal yang keluar laut pada musim ini boleh pulang dengan hasil lumayan yang dianggarkan bernilai antara RM10,000 hingga RM20,000.

“Malangnya, masalah jerebu menyebabkan ramai nelayan tidak dapat mencari rezeki di laut,” katanya.

Menurut China Press, terdapat kapal yang lebih kecil telah berpatah balik dari laut kerana pemiliknya bimbang akan dilanggar oleh kapal lebih besar dalam keadaan jarak penglihatan yang tidak baik.

Selain itu, ada juga nelayan yang memilih untuk berehat kerana mengalami tanda-tanda tidak selesa termasuk masalah pernafasan dan pening, dipercayai kerana terdedah kepada jerebu tebal di laut. – MalaysiaGazette