Home Sukan Luqman Hakim milik KV Kortrijk

Luqman Hakim milik KV Kortrijk

KUALA LUMPUR – Penyerang sensasi skuad Bawah-18 tahun negara, Luqman Hakim Shamsuddin bakal menjadi milik kelab divisyen satu Belgium, KV Kortrijk tidak lama lagi.

Luqman, 17, akan menandatangani kontrak profesional selama lima tahun.

Pengumuman kontrak itu akan diumumkan hari ini yang turut memberi bayangan di Instagram miliknya.

KV Kortrijk merupakan salah satu daripada kelab milik usahawan, Tan Sri Vincent Tan yang juga memiliki kelab Inggeris, Cardiff City.

Difahamkan, Luqman akan berlatih bersama Cardiff City terlebih dahulu sehingga usianya genap 18 tahun pada Mac depan.

Selepas itu, pemain kelahiran Kelantan itu dibenarkan menandatangani kontrak profesional bersama kelab Belgium tersebut.

Luqman merupakan antara generasi pertama keluaran Akademi Bolasepak Mokhtar Dahari (AMD).

Dia mula mencipta nama sebagai penyerang utama pasukan Bawah-16 tahun negara di Kejohanan AFC B-16 di Bukit Jalil ketika di bawah kendalian Lim Teong Kim.

Luqman terus menyerlah di kejohanan AFF B-18 bersama skuad kendalian Brad Maloney pada bulan lalu.

Walaupun pasukan negara sekadar muncul naib juara di pertandingan tersebut, Luqman mencuri perhatian termasuk menjaringkan dua gol ketika membantu Malaysia menewaskan Australia 3-0 di peringkat kumpulan. – MalaysiaGazette