KUALA LUMPUR – Pelakon, Datin Diana Danielle Beeson yang pernah dilaporkan mengalami serangan kebimbangan (anxiety attack) sejak setahun lalu kini sudah 95 peratus pulih.
Pelakon wanita kelahiran Amerika itu penuh ceria memberitahu, beliau sembuh dengan semangat yang kuat.
Beliau mengamalkan tidur awal, makan mengikut waktu dan mengambil suplemen tenaga dalam usaha mengurangkan rasa bimbang yang melampau.
“Ramai tak tahu sebenarnya saya terima serangan pertama dua tahun lalu sehingga mengganggu kerjaya saya.
“Tapi sekarang saya semakin pulih, cuma apabila betul-betul stres, baru penyakit tersebut datang kembali. Tapi simpton itu tidak kuat,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis pelancaran produk perlindungan insurans untuk penyakit mental oleh Etiqa di sini.
Menurut isteri aktor Datuk Farid Kamil itu lagi, dia akan berpeluh, insomnia teruk, gelisah dan hilang selera makan, selain asma dan sesak nafas.
Sehingga satu peringkat yang teruk apabila doktor kardiologi memaklumkan pernafasan saya hanya 50 peratus dan denyutan jantung tidak normal hingga terpaksa memberi saya ubat.
Meskipun begitu, Diana berkata, dia tidak mahu terus menerus bergantung dengan pengambilan ubat, lantaran itu terpaksa melawannya.
Katanya, walaupun simpton sudah semakin baik tetapi penyakit itu boleh datang kembali jika tidak cukup rehat dan beban kerja melampau.
“Jadi sekarang saya boleh tidur awal. Macam aunty saya pernah cakap, shopping mall akan ditutup pukul 10 sebab pembersih akan datang dari 10 sampai 2 pagi, ia sama macam otak kita. Jika tidur pukul 10 malam otak akan segar semula untuk bekerja pada esok har.
“Minum kopi….masih lagi, tapi dulu saya minum banyak sampaiĀ enam cawan sehari jika tak cukup tidur. Kini semuanya sudah berubah dengan hanya secawan sehari.
“Kadang-kadang tak minum kopi pun ada..jadi bila dah cukup tidur saya tak perlukan kopi,” ujarnya yang juga mengakui mengambil banyak sayur-sayuran segar. – MalaysiaGazette