Home Seni Hidup Juara AF2015 sah bergelar suami

Juara AF2015 sah bergelar suami

KUALA LUMPUR – Juara Akademi Fantasia 2015, Sufie Rashid, 28, akhirnya selamat bergelar suami kepada  Nurulain dengan sekali lafaz di Putrajaya hari ini.

Sufie atau nama sebenarnya Mohammad Sufie Rashid mengikat tali pertunangan dengan pengasas produk makanan Krispy Krunchee, Nurulain Md. Yusof pada 15 Disember 2018.

Difahamkan, majlis pernikahan ini hanya dihadiri oleh ahli keluarga dan teman rapat sahaja yang diadakan secara sederhana atas permintaan keluarga pasangan tersebut.

Majlis bermula pada jam 9.30 pagi tadi bertempat di Pulse Grande Hotel Putrajaya menyaksikan dulang hantaran sembilan berbalas tujuh serta cek hantaran perkahwinan berjumlah RM20,000.00 serta mas kahwin sebanyak SGD300.00 dan sebentuk cincin.

Sufie dinikahkan oleh bapa kepada pengantin perempuan itu sendiri dan dikendalikan oleh Pendaftar Nikah Putrajaya,  Ustaz Haji Hasli Othman.

Sufie dan Ain berkenalan pada penghujung 2016 sebelum mereka mengambil keputusan untuk menamatkan zaman bujang mereka.

Majlis resepsi akan berlangsung pada esok, 22 September 2019 di Glam Hall, Mustapha Kamal, Damansara Perdana, Petaling Jaya.

Menurut Sufie, dia merasakan cukup bertuah apabila mengenali isterinya untuk menjadi peneman hidup.

“Saya bersyukur kerana saya dijodohkan dengan Ain. Ain merupakan isteri yang sangat memahami kerjaya saya sebagai seorang selebriti. Dia tidak pernah menghalang untuk saya terus berkarya dalam industri seni,” ujarnya.

Tambahnya lagi, dia memohon agar peminat mendoakan kebahagiaan mereka.- MalaysiaGazette