PULAU PEMBA – Seorang lelaki Amerika lemas ketika melamar kekasihnya di bawah laut semasa bercuti di Tanzania.
Steven Weber dan kekasihnya, Kenesha Antoine, telah menginap di kabin bawah laut di Manta Resort di sini.
Rakaman menunjukkan Weber menyelam untuk melamar Antoine berkahwin dengannya.
Dalam video itu, Weber menulis nota lamaran bertulis tangan melalui tingkap kabin dan Antoine merakamkannya dari dalam.
Bagaimanapun, Antoine memaklumkan dalam Facebooknya Weber tidak muncul selepas itu.
Manta Resort dalam kenyataannya berkata, tragedi itu berlaku semasa Weber menyelam di luar kabin dalam air itu pada hari Khamis lalu.
“Sangat menyedihkan apabila kami dimaklumkan tentang kemalangan itu,” kata Manta Resort.
Ketua Pegawai Eksekutif Manta Resort, Matthew Saus berkata, pihaknya masih terkejut dengan kematian Weber.
Weber dan Antoine telah menempah bilik bawah air itu selama empat malam.
Bilik yang terletak kira-kira 250 meter (820 kaki) dari pantai bernilai AS$1,700 semalam.
Kabin bilik itu ditempatkan pada kedalaman 10 meter.
Kejadian itu berlaku pada hari ketiga pasangan itu berada di resort tersebut.
Semasa menulis nota lamaran itu, Weber berkata: “Saya tidak dapat menahan nafas saya cukup lama untuk memberitahu anda semua yang saya sayang awak. Tetapi … saya sayang semuanya tentang anda, sayang saya terhadap awak bertambah setiap hari!”
Kemudian dalam video itu, Weber menyerahkan kertas untuk melamar Antoine, sebelum menarik cincin pertunangan dari seluar pendeknya dan berenang keluar dari pandangan.
Antoine yang sedih dengan kejadian itu berkata, Weber tidak sempat mendengar jawapan lamarannya.
“Dia tidak sempat dengar jawapan, yang saya akan kata jutaan kali ‘ya’,” katanya. – MalaysiaGazette