KUALA LUMPUR – Pelabur antarabangsa menjadi penjual bersih di Bursa Malaysia pada minggu lepas, menjual ekuiti tempatan bernilai RM79.4 juta antara 17 dan 19 Sept, berbanding belian bersih asing RM247.1 juta yang dicatatkan dalam tempoh sama pada minggu sebelumnya.
Penganalisis MIDF Amanah Investment Bank Bhd Research (MIDF Research) Adam M Rahim berkata, jualan itu telah menjadikan aliran keluar bersih asing setakat ini (sehingga 19 Sept) dari Malaysia kekal melebihi RM7.0 bilion.
“Dana antarabangsa membeli RM58.7 juta bersih pada Selasa selepas pasaran dibuka semula selepas hujung minggu yang panjang.
“Ini walaupun kebimbangan meningkat terhadap pertumbuhan global yang perlahan disebabkan serangan ke atas kemudahan minyak Arab Saudi baru-baru ini,” katanya kepada Bernama.
Bagaimanapun, Adam berkata, aliran masuk asing pada Selasa diimbangi oleh aliran keluar asing dua hari berturut-turut berjumlah RM40.5 juta dan RM97.6 juta bersih, masing-masing pada Rabu dan Khamis.
“Wujud langkah mengelak risiko berikutan tidak pasti jika penggubal dasar Rizab Persekutuan AS akan menurunkan kadar faedah lagi selepas pengurangan kadar pada Rabu,” katanya.
Pada Rabu, bank pusat AS menurunkan kadar faedah penanda arasnya untuk kali kedua sejak Julai lepas sebanyak 25 mata asas kepada 1.75 peratus – 2.0 peratus.
Minggu yang pendek disebabkan cuti umum yang baru berakhir turut menyaksikan People’s Bank of China mengurangkan kadar pinjamannya sebanyak lima mata asas kepada 4.20 peratus, manakala Bank of Indonesia melaksanakan penurunan ketiganya dalam tempoh tiga bulan dengan mengurangkan kadar repo berbalik tujuh harinya sebanyak 25 mata asas kepada 5.25 peratus.
Bursa Malaysia ditutup pada Isnin sempena Hari Malaysia.
Mengulas mengenai langkah bank-bank pusat, Ketua Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata dilihat terdapat campur tangan yang aktif daripada bank-bank pusat untuk merancakkan aktiviti ekonomi.
“Walaupun langkah itu boleh dianggap sebagai perkembangan positif, ia turut menunjukkan bahawa ekonomi, sama ada global atau serantau, memerlukan beberapa bentuk bantuan untuk berkembang, seperti pada masa ini yang tidak begitu memberangsangkan.
“Oleh itu, permintaan terhadap instrumen selamat seperti bon akan menjadi kelas aset paling mendapat pilihan berikutan sentimen mengelak risiko,” katanya.
Dalam negara, Bank Negara Malaysia pada Rabu berkata kestabilan kewangan domestik tetap utuh pada separuh pertama 2019 di tengah-tengah cabaran persekitaran luaran dan domestik dengan ketegangan perdagangan yang berlanjutan terus memberi kesan kepada permintaan luaran serta prospek pertumbuhan serantau.
Bank pusat itu berkata di peringkat global, kelemahan kewangan kekal ketara berikutan kebimbangan mengenai pertumbuhan global yang semakin perlahan dan ketegangan geopolitik yang kian meruncing dan menyumbang kepada peningkatan volatiliti dalam aset kewangan dan harga komoditi. – MalaysiaGazette