KUALA LUMPUR – Orang ramai sekali lagi dinasihatkan Tenaga Nasional Berhad (TNB) agar sentiasa mematuhi larangan ketika berada di kawasan yang dipasang notis makluman potensi risiko renjatan elektrik.
Bagi kawasan berdekatan talian atas bervoltan tinggi, antara aktiviti tidak dibenarkan ialah membawa peralatan panjang seperti galah dan memancing di kolam atau tasik di bawah talian.
Bermain layang-layang dan helikopter atau kapal terbang kawalan jauh serta dron juga mengundang risiko renjatan elektrik.
“Aktiviti-aktiviti tersebut amat berbahaya dan berisiko tinggi mengakibatkan renjatan elektrik dan percikan arka (flashover) yang bukan sahaja boleh merosakkan harta benda, bahkan mengancam nyawa,” katanya dalam kenyataan hari ini .
TNB turut melahirkan rasa simpati dan menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga seorang pelajar yang maut akibat renjatan elektrik ketika mengait umpan tiruan yang tersangkut pada kabel elekrik di Bachok, Kelantan Jumaat lalu.
Katanya, mangsa berada di bawah talian bervoltan tinggi yang terdedah kepada renjatan elektrik dan percikan arka (flashover).
Dalam kejadian itu, pelajar berusia 13 tahun itu telah menggunakan galah buluh yang basah untuk mengait umpan berkenaan menyebabkan dia terkena renjatan elektrik dan terus tidak sedarkan diri.
Justeru, TNB memohon jasa baik orang ramai yang ternampak situasi yang boleh mengancam keselamatan orang lain atau menjejaskan bekalan elektrik, untuk segera menghubungi Facebook TNB CareLine atau talian 15454 agar tindakan sewajarnya dapat diambil bagi mencegah perkara yang tidak diingini dari berlaku. – MalaysiaGazette