Home Nasional Permohonan Riza Aziz pindah kes ditolak

Permohonan Riza Aziz pindah kes ditolak

Riza Shahriz Abdul Aziz

KUALA LUMPUR – Permohonan Riza Aziz Shahriz Abdul Aziz bagi memindahkan perbicaraan kes penggubahan wang haram yang dihadapinya dari Mahkamah Seksyen ke Mahkamah Tinggi di tolak hari ini.

Riza yang merupakan anak tiri kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kini berhadapan dengan penggubahan wang haram berjumlah AS$248 juta (RM1.25 bilion) didakwa hasil  penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali ketika membacakan keputusan sebentar tadi memutuskan Mahkamah Sesyen cukup memenuhi syarat untuk mendengar kes Riza Aziz dan tidak ada keperluan untuk dipindahkan.

“Tuduhan di bawah Seksyen 4(1) dibicarakan di Mahkamah Sesyen. Hakim Mahkamah Sesyen tidak kurang kompeten dan dapat menangani masalah yang rumit,” katanya ketika pendengaran kes hari ini.

Sebelum ini, peguambela Riza Aziz membantah serta memohon mahu kes terhadap anak guamnya yang difailkan di bawah Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 melibatkan tuduhan jenayah yang rumit perlu didengar oleh mahkamah yang lebih tinggi.

Pada 5 Julai lepas, Riza Aziz – pemilik syarikat Red Granite Pictures, mengaku tidak bersalah atas lima pertuduhan.

Bagi pertuduhan pertama, penerbit filem Wolf of The Wall Street itu didakwa telah melibatkan diri dalam pengubahan wang haram iaitu menerima hasil daripada aktiviti haram berjumlah AS$1.173,104 melalui satu transaksi pemindahan wang milik Good Star Limited di RBS Coutts, Zurich, Switzerland ke akaun City National Bank, Los Angeles, AS milik Red Granite Productions Inc.

Wang tersebut didakwa penyewelengan daripada dana 1MDB.

Riza Aziz yang juga merupakan anak Datin Seri Rosmah Mansor hasil perkahwinan terdahulu dituduh melakukan kesalahan sama melibatkan US$9 juta melalui transaksi pemindahan wang dari akaun serupa pada 10 September, 2012 dan 10 Oktober 2012 di tempat sama.

Bagi pertuduhan ketiga dan keempat, dia didakwa melakukan perbuatan sama berjumlah US$133 juta dan US$60 juta melalui satu transaksi pemindahan wang milik Aabar Investment PJS Limited di BSI SA, Lugano, Switzerland ke akaun BSI Bank Limited Singapura milik Red Granite Capital Ltd.

Mengikut pertuduhan kelima, tertuduh didakwa melakukan kesalahan serupa berjumlah US$45 juta di tempat sama pada 14 November 2012.

Pertuduhan mengikut Seksyen 4(1) (a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.

Tertuduh boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM5 juta atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. – MalaysiaGazette