Home Ekonomi JPPH cari indikator selesai masalah rumah tak terjual

JPPH cari indikator selesai masalah rumah tak terjual

Amiruddin Hamzah

KAJANG – Jabatan Penilaian Dan Perkhidmatan Harta (JPPH) akan melakukan kajian pelbagai sudut bagi mencari indikator dalam menyelesaikan masalah rumah tidak terjual.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Wira Amiruddin Hamzah berkata, situasi bangunan tidak terjual melibatkan hartanah kediaman yang menjadi isu sejak kebelakangan ini masih menunjukkan peningkatan tetapi pada kadar yang marginal.

“Bagi separuh pertama 2019, terdapat hampir 33,000 unit overhang (tidak terjual) kediaman dengan jumlah nilai RM19.76 bilion.

“Hartanah kondominum dan apartmen mendominasi overhang di mana sebahagian besarnya melibatkan hartanah yang berharga diantara RM200,000 hingga RM300,000,” katanya ketika berucap melancarkan Sistem carian Harta Tanah Tidak Terjual Malaysia (UPESM) 2.0 di Institut Penilaian di sini hari ini.

Amiruddin berkata, indikator berhubung overhang itu penting untuk memastikan penawaran perumahan adalah selari dengan permintaan dan isu ketidakpadanan dapat diminimumkan.

Justeru beliau menyarankan, agar pemaju dan pihak berkuasa yang meluluskan pembangunan projek serta harga jualan rumah tersebut memberi perhatian kepada data overhang.

Ujarnya, pemaju juga perlu memastikan rumah yang dibina menepati permintaan di lokasi tersebut dengan harga yang mampu dimiliki oleh pembeli. – MalaysiaGazette