KUALA LUMPUR – Jurulatih Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe telah mengekalkan 23 pemain yang berada di dalam skuadnya ketika berdepan Jordan, Indonesia dan UAE sebelum ini.
Berdasarkan senarai pemain yang dikeluarkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia di laman Facebook pada hari ini, hanya pemain sayap, Hadin Azman digugurkan untuk berada di dalam senarai menunggu.
Untuk melengkapkan senarai 25 pemain, Cheng Hoe telah memanggil pemain pertahanan berpengalaman dari JDT, Aidil Zafuan Abd Radzak dan pemain tengah Selangor, Abdul Halim Saari.
Selain Hadin Azman, enam pemain lain yang turut berada di dalam senarai menunggu sekiranya terdapat kecederaan kepada pemain sedia ada ialah Syazwan Andik Ishak (JDT), Khairul Fahmi Che Mat (Melaka), Jafri Firdaus Chew (PKNS FC), Amirul Azhan Aznan (Perak) serta Azzizan Nordin dan Rawilson Batuil (Sabah).
Sementara itu, tiga perlawanan antarabangsa bakal dihadapi oleh skuad Harimau Malaya.
Mereka akan bertemu Sri Lanka di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 5 Oktober ini, perlawanan Kumpulan G bagi Pusingan 2 Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 menentang Vietnam di Stadium Nasional My Dinh, Hanoi pada 10 Oktober 2019 dan perlawanan antarabangsa Tier 1 bertemu Hong Kong di Stadium Hong Kong pada 15 Oktober ini.
Selain daripada aksi ketiga Kumpulan G bagi Pusingan 2 Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 menentang Vietnam di Stadium Nasional My Dinh, pasukan negara juga akan beraksi dalam perlawanan persahatan antarabangsa sebelum dan selepas perlawanan menentang Vietnam. – MalaysiaGazette