JAKARTA – Pelajar Malaysia di Pekanbaru dan Jambi dijadual dipindah keluar dari wilayah itu hari ini.
Menurut sumber, pelajar yang akan dibawa pulang ke Malaysia dijadualkan bermula waktu pagi ini manakala pelajar yang akan dievakuasi ke Jakarta, Indonesia dijadual tiba pada pukul 6 petang.
Belum terdapat butiran lengkap mengenai penerbangan evakuasi itu.
Pelajar yang dievakuasi di Jakarta akan ditempatkan di Malaysia Hall dan akan menjalani rawatan pemeriksaan kesihatan.
Menurut Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dalam satu kenyataan di Kuala Lumpur hari ini, seramai 280 pelajar Malaysia di Pekanbaru dan Jambi, Indonesia akan dievakuasi ekoran pengumuman darurat di Riau akibat jerebu.
Daripada jumlah itu, 160 pelajar akan dibawa pulang ke Malaysia manakala 120 akan dievakuasi ke Malaysia Hall di Jakarta, Indonesia, kata NADMA.
Seramai 280 pelajar yang perlu dievakuasi itu terdiri daripada 183 orang di Pekanbaru dan 97 di Jambi. – MalaysiaGazette