KUALA LUMPUR – Pengundi Barisan Nasional (BN) Parlimen Tanjung Piai semasa PRU-14 sebenarnya mahu calon Melayu.
Itu rumusan Ketua Pemuda BERJASA, Iqbal Hakim Abdul Razak.
Mengimbau kembali PRU-14, signal itu sudah ada semasa beliau turun padang dan berkempen untuk calon partinya menggunakan logo Pas.
Jika diperhatikan keputusan PRU-14, PH melalui PPBM
memenangi kerusi Tanjung Piai hanya dengan undi majoriti 500 lebih sahaja. Dikaitkan pula dengan demografi penduduk di situ, kurang lebih 55 peratus Melayu, 44 peratus Cina dan satu peratus India dan lain-lain boleh dikatakan sangat sedikit undi orang Melayu kepada PH pada ketika itu.
“Namun, mengenang kembali situasi di Tg Piai ketika PRU-14, ada cakap-cakap politik daripada kem BN. Katanya di akar umbi, ada kegusaran ahli mereka yang mahukan calon lain daripada BN.
“Mereka mahukan orang Melayu yang memimpin mereka
memandangkan majoriti penduduk di situ adalah orang
Melayu. Maka tidak hairan bagi saya andai ada kumpulan akar
umbi yang menyampaikan mesej protes mereka dengan tidak
mengundi BN pada PRU-14, maka mereka secara senyap-senyap mengundi calon Melayu daripada pihak lawan.
“Boleh saya katakan, majoriti akar umbi yang membuat protes
tersebut ramainya memilih untuk mengundi GS-BERJASA
berbanding PH pada ketika itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Iqbal Hakim, perkara itu perlu dinilai sebaik-baiknya oleh pucuk pimpinan parti pembangkang dalam memilih calon PRK Tanjung Piai yang bakal diadakan tidak lama lagi.
Faktor calon itu sangat penting kerana berdasarkan beberapa PRK yang lepas di Semenanjung Malaysia, sentimen itu berperanan besar dalam menentukan kemenangan.
Suara akar umbi mestilah didengari dan diambilkira. Jangan kerana kepentingan politik sesetengah pihak semata-mata maka sewenang-wenangnya sahaja diletakkan calon yang bakal bertanding di situ, katanya.
“Muafakat Nasional punya agenda besar. Pada ketika inilah kita diuji, para rakan komponen kita diuji, sejauh mana kita benar- benar menghayati dan menjunjung semangat Muafakat
Nasional seperti yang telah dimeterai 14 September yang lalu,” katanya lagi.-MalaysiaGazette