TANJUNG PIAI – Walaupun Barisan Nasional (BN) dilihat berpeluang merampas balik kerusi Parlimen Tanjung Piai daripada Pakatan Harapan (PH), tetapi MCA dilihat berdepan cabaran untuk mendapat restu UMNO bagi bertanding di kerusi itu.
Sinchew Daily melaporkan, pilihan raya kecil di Tanjung Piai bakal menjadi uji kaji keberkesanan kerjasama UMNO-Pas, termasuk menguji sejauh mana sambutan masyarakat Melayu dan bukan Melayu terhadap kerjasama itu.
Hasil ujian itu akan membantu Pas dan UMN0 menentukan strategi untuk pilihan raya umum, termasuk dalam soal pengagihan kerusi antara dua parti.
Walaupun begitu, sekiranya UMNO memaksa MCA melepaskan peluang bertanding di Tanjung Piai, ia pasti akan membawa kepada penolakan akar umbi MCA terhadap UMNO, sekali gus menjejaskan kerjasama dalam BN.
Salah satu fokus pilihan raya kecil Tanjung Piai pada masa ini adalah sama ada UMNO dan Pas sanggup memberi laluan kepada MCA untuk bertanding.
“MCA sudah menyatakan mahu bertanding. Pilihan raya kecil ini juga amat penting untuk MCA.
“Jika MCA berjaya memenangi kerusi ini, ia akan dilihat sebagai kejayaan untuk bangkit semula daripada keputusan terburuk sebelum ini,” demikian lapor Sinchew Daily.
Menurut analisis akhbar itu, satu lagi isu yang mencuri perhatian adalah sama ada pilihan raya kecil Tanjung Piai akan mengeruhkan lagi perpecahan yang sudah berlaku dalam Bersatu di Johor.
“Jika Bersatu tidak dapat berpadu tenaga dan kekurangan pemimpin berkarisma yang dapat mengatasi konflik dalaman yang berlaku, maka Bersatu akan menghadiahkan begitu sahaja Tanjung Piai kepada parti lawan.
“Salah satu jalan yang ada untuk mengatasi kemelut yang ada adalah dengan memberi laluan kepada parti lain dalam PH untuk bertanding jika Bersatu tidak dapat mengenal pasti calon Tanjung Piai yang sesuai,” demikian lapor Sinchew Daily.
Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pekan Nanas, Yeo Tung Siong yang juga Pengerusi DAP Tanjung Piai menjangkakan Bersatu akan terus diberi mandat bertanding kerana rakan lain dalam PH tidak akan merebut kerusi yang sudah dimenangi satu-satu parti.
China Press pula meramalkan Bersatu akan menghantar bidan terjun ke Tanjung Piai kerana parti itu sukar mencari calon tempatan seperti Datuk Dr. Md. Farid Md. Rafik yang muda dan berpendidikan tinggi.
Sementara itu, penganalisis politik, Pan Yong Qiang berkata, MCA akan berdepan cabaran jika mahu mewakili BN di Tanjung Piai.
“Sejak kekalahan BN pada 2018, konsep kawasan tradisi sudah tidak wujud dan semua kerusi perlu dirunding dan diagih semula,” katanya kepada China Press.
Calon BN dari MCA, Datuk Seri Wee Jeck Seng ditewaskan Md. Farid dengan majoriti kecil iaitu 524 undi pada Pilihan Raya Umum 2018.
Pengundi Tanjung Piai terdiri daripada 57.12 peratus orang Melayu, 41.74 Cina dan 0.11 India. – MalaysiaGazette