Ketua Pegawai Eksekutif Sarawak Forestry Corporation Sdn Bhd (SFCSB) Zolkipli Mohamad Aton berkata operasi menyelamat itu dijalankan pada pukul 2.30 petang tadi di kediaman pemilik haiwan berkenaan selepas menerima maklumat daripada orang awam dan selepas pelbagai imej haiwan itu yang tular di media sosial.
“Walaupun pemiliknya mempunyai lesen yang telah dikeluarkan oleh Kontroler Hidupan Liar Jabatan Hutan Sarawak untuk memelihara beruang matahari berkenaan, namun beliau telah melanggar beberapa terma dan syarat lesen berkenaan.
“Sebab itu kita selamatkan beruang berkenaan,” katanya kepada Bernama sambil menambah beruang matahari jantan itu seberat 76 kilogram.
Di Sarawak, beruang matahari atau sama saintifiknya Helarctos malayanus dilindungi di bawah Ordinan Perlindungan Hidupan Liar 1998, dan sesiapa yang didapati bersalah kerana memburu, memiliki haiwan yang dilindungi itu sama ada masih hidup atau mati atau hanya memiliki sebahagian anggota badannya tanpa lesen boleh didenda sehingga RM10,000 dan setahun penjara.
Kisah beruang matahari yang malang itu ditularkan oleh netizen di Facebook Ahad lepas sebelum disiarkan semula oleh pihak media semalam.
Ini adalah kes kedua melibatkan beruang matahari selepas kes pertama haiwan itu dikurung di sebuah kondominium di Kuala Lumpur dilaporkan Jun lepas.
Mengulas tindakan yang dikenakan terhadap pemilik haiwan, Zolkipli berkata ia terpulang kepada Jabatan Hutan Sarawak yang telah mengeluarkan lesen berkenaan kerana pihaknya hanya menguruskan operasi.
— BERNAMA