Home Politik PRK Tanjung Piai: Yang penting BN dapat tawan semula

PRK Tanjung Piai: Yang penting BN dapat tawan semula

Wee Ka Siong

KUALA LUMPUR – Sama ada MCA akan meletakkan calonnya untuk bertanding di Pilihan Raya Kecil Parlimen Tanjung Piai, keputusan tersebut akan dibuat secara kolektif menerusi Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN).

Namun apa yang pasti, kata Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, BN akan bertungkus-lumus menawan semula kerusi tersebut.

Katanya, BN akan mengadakan pertemuan pada awal bulan depan untuk memuktamadkan keputusan mengenainya.

“Saya tidak boleh membuat sebarang kenyataan sekarang, saya perlu mematuhi prosedur standard, semuanya akan diputuskan secara kolektif oleh Dewan Tertinggi BN,” katanya semasa sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pusat MCA.

Mengakui setiap PRK adalah satu cabaran bagi BN, Ka Siong berkata, komponen parti itu perlu berkerja keras dari sekarang.

Tambahnya, beliau sudah menemui Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bagi membincangkan PRK tersebut namun enggan mengulas panjang.

“Apa yang dibincang dengan Pengerusi BN adalah perkara biasa kerana bukan kali pertama BN hadapi PRK.

“Yang penting kita kena pastikan calon BN menang, itu paling penting,” tegasnya.

Ka Siong menambah, meskipun kerusi Parlimen Tanjung Piai disandang oleh Pakatan Harapan, namun peluang BN tidak boleh dipandang rendah.

“Kita ada semangat berjuang dan mahu menang.

“Tetapi kita tidak boleh terlampau optimistik kerana pada akhirnya keputusan berada pada tangan pengundi-pengundi Tanjung Piai,’ ujarnya.

PRK akan diadakan berikutan kematian Dr. Farid Md Rafik, Ahli Parlimen Tanjung Piai akibat serangan jantung pada 21 September lalu. – MalaysiaGazette