KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunggu arahan lanjut Peguam Negara, Tommy Thomas berhubung keputusan Mahkamah Koroner Shah Alam yang merumuskan kematian Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim akibat dipukul, diserang pihak ketiga dan dikategorikan sebagai jenayah.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata demikian dalam kenyataan hari ini.
Katanya, polis mengambil maklum keputusan inkues ke atas kematian anggota bomba itu yang diumumkan oleh Koroner Rofiah Mohamad pagi ini.
“Sehubungan itu PDRM akan menunggu arahan lanjut daripada pihak Peguam Negara berdasarkan keputusan Hakim Mahkamah Koroner Shah Alam tersebut.
“Untuk makluman, siasatan polis ke atas kes jenayah terhadap Allahyarham Muhammad Adib tidak pernah ditutup dan masih berjalan,” katanya dalam kenyataan ringkas itu.
Pagi tadi, Koroner Rofiah semasa membacakan keputusan prosiding inkues selama 41 hari itu memutuskan punca kematian anggota bomba berkenaan adalah akibat dipukul dan diserang pihak ketiga.
Koroner Rofiah juga berkata, mahkamah memutuskan bahawa kecederaan Allahyarham Muhammad Adib bukan perbuatan sendiri sebaliknya disebabkan perbuatan jenayah oleh dua atau lebih individu.
Turut hadir mendengar keputusan inkues itu adalah abang dan tunang Allahyarham Muhammad Adib, Mohd. Asraf dan Nurul Najihah Mohd. Radzi serta peguam keluarga, Shazlin Mansor.
Bagaimanapun bapa arwah, Mohd. Kassim Abdul Hamid tidak hadir mendengar keputusan inkues itu.
Mahkamah Koroner juga menyerah kepada Peguam Negara dan polis untuk melakukan pendakwaan.
Mahkamah turut menyalahkan pihak FRU dan polis yang gagal mengawal rusuhan yang berlaku sebelum insiden Muhammad Adib.
Membaca lanjut keputusan tersebut, Koroner Rofiah berkata, Allahyarham Muhammad Adib telah diheret keluar dari jentera EMR.
Sementara itu, prosiding inkues bagi menentukan punca kematian Muhammad Adib yang bermula pada 11 Februari lalu telah memanggil 30 saksi termasuk beberapa saksi pakar telah berlangsung selama 41 hari selain 137 eksibit dikemukakan.
Muhammad Adib, 24, yang merupakan anggota van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Subang Jaya parah selepas dipercayai diserang dan dipukul perusuh dalam kejadian kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November 2018.
Allahyarham menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara (IJN) pada 17 Disember tahun lalu.- MalaysiaGazette