Home Pendapat Menilai Kebijakan Politik Mahasiswa Indonesia

Menilai Kebijakan Politik Mahasiswa Indonesia

PADA 23 September 2019, tercatat satu lagi sejarah bilamana sejumlah besar mahasiswa  Indonesia dari beberapa buah universiti bergabung suara menyatakan bantahan terhadap
kerajaan mereka. Bantahan tersebut yang berlangsung di Jalan Gejayan, Yogyakarta nyata mendapat sambutan luar biasa masyarakat setempat sehingga akhirnya bantahan tersebut
merebak ke beberapa bandar utama Indonesia, termasuklah Jakarta.

Apa pula maksud di sebalik demonstrasi tersebut yang disebarkan melalui kempen #GejayanMemanggil? Apa yang dapat dilihat usai demonstrasi tersebut, suara mahasiswa Indonesia adalah suara yang harus didengar dan tidak boleh dibuat main.

Semakin lantang mahasiswa bersuara, semakin banyak perhatian perlu diberikan kepada mereka. Zaman berteknologi tinggi, serba moden dan semakin mencabar ketika ini memberi ruang dan peluang kepada anak-anak muda terutamanya mahasiswa untuk menyatakan pendirian terhadap sesuatu isu berbangkit.

Ya memang benar, mahasiswa tidak boleh hanya duduk diam, bersembunyi dan membisu terhadap perkara-perkara yang tidak menguntungkan mereka. Sebab itulah, mahasiswa Indonesia bangkit dan memenuhi jalanan untuk menyuarakan bantahan.

Difahamkan, masyarakat Indonesia turun di jalanan sekitar 23 hingga 24 September yang lalu adalah untuk menyatakan bantahan terhadap cadangan meluluskan pindaan Rang Undang
Undang Kitab Undang-undang Hukum Pidana (RUU KUHP).

Demonstrasi secara besar-besaran yang digerakkan oleh sebahagian besar mahasiswa Indonesia akhirnya menyebabkan kerajaan Indonesia menangguhkan cadangan pindaan tersebut.
Presiden Indonesia, Joko Widodo atau lebih dikenali sebagai Jokowi telah mengeluarkan arahan supaya pindaan RUU KUHP ditangguhkan seketika dalam usaha untuk meredakan
kemarahan rakyat Indonesia.

Wakil-wakil mahasiswa pula berikrar akan meneruskan bantahan
selagi cadangan pindaan RUU KUHP tidak ditarik semula.
Pemerintah Indonesia sudah semestinya belajar daripada sejarah yang lalu. Kejadian rusuhan 1998 yang telah mengorbankan beberapa orang mahasiswa sudah pasti tidak mahu berulang
lagi. Kesan daripada Tragedi Trisakti 1998 nyata telah merubah landskap politik Indonesia.

Susulan kejadian tersebut menyaksikan Presiden Indonesia ketika itu, Suharto terpaksa melepaskan jawatannya yang telah disandang selama lebih daripada 30 tahun.

Perletakan jawatannya disebabkan rusuhan dan kemarahan rakyat yang telah merebak di serata tempat. Ditambah pula dengan kegawatan ekonomi, tuduhan rasuah dan salah guna
kuasa menyebabkan sokongan rakyat terhadap kepimpinan beliau semakin merosot.

Mahasiswa Indonesia pula membentuk satu kelompok suara yang besar, turun di jalanan dan berdemonstrasi. Akhirnya, Suharto mengumumkan perletakan jawatannya pada tanggal 21 Mei
1998.

Apa yang dapat disimpulkan, peristiwa demonstrasi jalanan yang digerakkan oleh mahasiswa-mahasiswa Indonesia harus diteladani dan diambil iktibar oleh semua pihak. Suara orang muda harus didengar kerana mereka ini adalah penggerak kepada politik sesebuah negara.

Politik orang muda tidak hanya tertumpu di Indonesia sahaja, bahkan rakyat Malaysia harus melihat peristiwa demonstrasi jalanan di Indonesia adalah lambang kepada kebangkitan suara
orang muda yang ditunjang oleh kelompok terpelajar.

Semoga tunjuk perasaan di Indonesia segera berakhir dan segala urusan ekonomi negara tersebut dapat berjalan seperti biasa.

Syahmi Minhad, Pembaca MalaysiaGazette