KUALA LUMPUR – Pakatan Pas–UMNO tidak berdepan dengan ujian berat pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai kerana kemenangan calon Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) Mei tahun lalu dengan majoriti tipis.
Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, kemenangan bakal berpihak kepada penyatuan ummah dengan berlakunya perkembangan politik terkini yang ramai tidak disukai rakyat.
“Saya rasa (ujian PRK Tanjung Piai) tak berat kerana PH menang dengan majoriti tipis, dan insha-Allah dengan berlakunya perkembangan politik yang terkini ini, peluang baik kepada kita, insha-Allah,” katanya dalam satu sidang media hari ini.
Abdul Hadi bagaimanapun berkata, partinya akan melihat dahulu sejauhmana cabaran itu, dan calon PH pun tidak diketahui siapa.
“Kita akan tengok dululah sejauhmana cabarannya. Calon PH pun kita tak tahu siapa lagi,” katanya.
Ditanya berhubung Barisan Nasional (BN) akan mengumumkan calonnya pada 3 Oktober ini, beliau berkata, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) belum lagi mengumumkan tarikh pilihan raya.
“Saya rasa pilihan raya kecil pun tak diumumkan lagi. Tunggulah SPR umum pilihan raya dulu, (di situ) kita akan buktikan kerjasama.
Mengenai gambar ‘pengantin’ antara beliau dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang disiarkan sebuah akhbar berbahasa Cina, Abdul Hadi secara berseloroh berkata, beliau bukan ahli LGBT.
“Saya tak jadi ahli LGBT. Tanya ahli dia (LGBT) dan penasihat dialah. Saya tak berkait dengan LGBT,” katanya.
Ditanya kenapa terdapat pihak terbabit melakukan perkara sedemikian, iaitu mengubah wajahnya menjadi perempuan yang kahwin sejenis, Ahli Parlimen Marang itu berkata, terpulang kepada pihak berkenaan untuk melakukannya.
Katanya, gambaran itu langsung tidak sesuai dengan Pas, malah dengan UMNO pun tak sesuai.
“Orang kata kalau nak kahwin (biar) kena dengan kukulah (lelaki dan perempuan).
“Mungkin dia orang terdesak, dah tak ada idea hingga buat begitu. Tak ada idea cari macam-macam idea (untuk menyerang musuh politik),” katanya sambal menambah, beliau sendiri tidak layan perkara itu sebab tidak ada kena mengena dengan beliau yang bukan ahli LGBT.
Ditanya sama ada beliau akan membuat laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi Multi Media (SKMM), Abdul Hadi berkata, terpulang kepada masyarakat untuk menilai sendiri.
Menjawab soalan wartawan mengenai pengganti jawatan Perdana Menteri, beliau menjelaskan, terpulang kepada ketokohan calon.
Katanya, ketokohan itu tidak semestinya terikat dengan umur, sebaliknya berilmu dan berintegriti.
“Ada yang umur masih muda, tapi mempunyai kebijaksanaan. Kalau umur tua tapi tak ada kebijaksanaan tak ada apa-apa erti.
“Menjadi perdana menteri bukan bergantung kepada umur, tetapi bergantung kepada ketokohan. Ketokohan itu adalah dari segi ilmu dan integriti. Dua sifat ini sangat penting,” katanya. – MalaysiaGazette