KUALA LUMPUR – Ketua Jurulatih skuad Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe terpaksa mengugurkan penjaga gol Kedah, Ifwat Akmal Chek Kassim untuk menghadapi tiga perlawanan antarabangsa membabitkan pasukan negara sepanjang Oktober depan.
Menerusi laman Facebook Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Cheng Hoe telah mengambil keputusan untuk memanggil penjaga gol Selangor, Khairulazhan Khalid sebagai ganti.
Ifwat dilaporkan mengalami kecederaan pada perlawanan suku akhir pertama menentang PKNP FC di Stadium Majlis Perbandaran Manjung pada Rabu lalu.
Kedah bangkit dari ketinggalan satu gol untuk menang perlawanan tersebut 2-1.
Ifwat adalah antara pemain yang bersama pasukan negara ketika mencatatkan kemenangan 3-2 ke atas Indonesia dan tewas 2-1 kepada Emiriah Arab Bersatu (UAE) namun tidak diturunkan pada kedua-dua perlawanan.
Dalam dua perlawanan lalu, Farizal Marlias yang juga menggalas peranan sebagai kapten pasukan adalah pilihan pertama Tan Cheng Hoe.
Seramai 25 pemain telah dipanggil untuk menghadiri latihan pusat yang akan bermula pada Isnin ini.
Pasukan negara dijadualkan akan Perlawanan Antarabangsa Tier 1 bertemu Sri Lanka di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 5 Oktober dan seterusnya aksi ketiga Kumpulan G bagi Pusingan 2 Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 menentang Vietnam di Stadium Nasional My Dinh, Hanoi pada 10 Oktober dan Perlawanan Antarabangsa Tier 1 bertemu Hong Kong di Stadium Hong Kong pada 15 Oktober ini. – MalaysiaGazette