Home Ekonomi Bursa tidak berubah minggu depan

Bursa tidak berubah minggu depan

Bursa Malaysia

KUALA LUMPUR – Bursa Malaysia dijangka diniagakan tidak berubah minggu depan ketika ia menunggu pemangkin tempatan yang lebih kukuh untuk melonjak ke segmen positif, dengan petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia (FBM KLCI) dijangka diniagakan antara paras 1,580 hingga 1,595.

Naib Presiden Kanan (pelaburan) Philip Capital Management Datuk Dr Nazri Khan Adam Khan berkata, dalam keadaan tidak menentu akibat daripada perang perdagangan antara Amerika Syarikat (AS)-China, adalah lebih baik bagi pelabur untuk lebih berpilih dan menumpukan kepada saham defensif.

“Keseluruhannya, pertumbuhan perlahan ekonomi global dan ketidakpastian berhubung pertelingkahan perdagangan AS-China yang masih berlarutan, serta peningkatan ketegangan geopolitik di Timur Tengah kekal sebagai faktor tekanan bagi bursa tempatan,” katanya kepada Bernama.

Daripada persepktif teknikal, Nazri Khan berkata meskipun aliran menurun ketika ini, pasaran dijangka melantun semula, sebaik sahaja isu perdagangan AS-China berakhir dan munculnya pemangkin pasaran yang lebih kukuh.

“Walaupun dagangan bursa tempatan masih tertekan di bawah paras 1,600 mata, ia tidak mengenepikan unjuran peningkatan pelbagai bulan kami, kerana ia disokong oleh dua kemunculan pola Bullish Harami pada Ogos dan September,” katanya.

Sepanjang minggu yang baru berakhir ini, pasaran dipengaruhi oleh perang perdagangan AS-China serta kajian semula FTSE Russel ke atas pasaran bon Malaysia.

Wakil perdagangan dari AS dan China dijangka menyambung semula rundingan pada 10 Okt depan dan para pelabur terus mengambil pendekatan berhati-hati menunggu keputusan yang akan dicapai.

Meskipun dikekalkan dalam indeks FTSE Russel, para penganalisis memberikan pandangan yang berbeza berhubung perkara itu, dengan majoritinya masih kekal berhati-hati kerana prestasi pasaran bon tempatan masih berada dalam kajian semula sehingga Mac 2020, yang boleh membawa kepada aliran keluar dana yang tinggi pada bulan-bulan akan datang.

Pada Jumaat, Bursa Malaysia ditutup turun 0.55 peratus disebabkan tekanan jualan dalam saham wajaran tinggi terpilih susulan sentimen pasaran yang berhati-hati, prospek pertumbuhan perlahan ekonomi global serta kebimbangan akan kemelesetan.

Bagi asas minggu ke minggu, FBM KLCI turun 13.27 mata kepada 1,584.14 daripada paras penutup 1,597.41 pada minggu sebelumnya.

Indeks FBM Emas susut 77.08 mata kepada 11,205.89, Indeks FBMT 100 turun 76.80 mata kepada 11,038.61 manakala Indeks FBM Emas Shariah berkurangan 73.14 mata kepada 11,761.17.

FBM 70 jatuh 32.44 mata kepada 13,930.71 dan Indeks FBM Ace berkurangan 20.44 mata kepada 4,552.83.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 144.57 mata kepada 15,317.36, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian susut 1.42 mata kepada 153.13 dan Indeks Perladangan berkurangan 53.10 mata kepada 6,723.57.

Jumlah dagangan mingguan turun kepada 9.89 bilion unit bernilai RM7.52 bilion berbanding 10.10 bilion unit bernilai RM8.57 bilion sebelumnya.

Jumlah dagangan Pasaran Utama susut kepada 5.81 bilion saham bernilai RM6.67 bilion berbanding 6.81 bilion saham bernilai RM6.29 bilion.

Jumlah dagangan waran naik kepada 1.72 bilion bernilai RM379.59 juta berbanding 1.58 bilion unit bernilai RM339.38 juta.

Jumlah dagangan Pasaran ACE meningkat kepada 2.35 bilion saham bernilai RM462.30 juta berbanding 1.70 bilion saham bernilai RM322.56 juta. – MalaysiaGazette

+ posts