Home Ekonomi Kami mahu rakyat Malaysia suka keju seperti kami suka durian – ...

Kami mahu rakyat Malaysia suka keju seperti kami suka durian – Duta AS

Kamala Shirin Lakhdir memperkenalkan keju dari Amerika Syarikat dalam satu acara eksklusif baru-baru ini.

KUALA LUMPUR – Keju dan wain, dua produk yang amat sinonim dengan Amerika Syarikat (AS) ternyata memiliki barisan penggemar dalam jumlah besar di Malaysia sejak dua tiga tahun kebelakangan ini.

Ini sebenarnya dapat dilihat menerusi peningkatan kadar import wain sebanyak 50 peratus dengan nilai jualan hampir mencecah AS$100 juta (RM417 juta) pada 2018.

Atase Pertanian Kedutaan AS, William Verzani yang ditemui oleh MalaysiaGazette baru-baru ini berkata, peningkatan turut berlaku ke atas import keju ke Malaysia iaitu 50 peratus dalam tempoh lima tahun dengan nilai jualan AS$124 juta (RM518 juta) tahun lalu.

Menurut beliau, produk buatan AS menerima permintaan luar biasa daripada rakyat negara ini khususnya buahan-buahan segar seperti anggur, ceri dan bluberi serta kekacang berkhasiat, antaranya walnut, pecan dan badam.

“Peningkatan permintaan ini banyak didorong oleh perkembangan pesat industri pelancongan dan sektor perhotelan yang juga antara sektor paling pantas berkembang dalam pasaran ekonomi Malaysia,” katanya.

Keju dari California diperkenalkan kepada rakan niaga Malaysia.

Baru-baru ini, sebuah jamuan ‘Keju dan Wain Amerika’ telah diadakan di kediaman rasmi Duta  Besar AS ke Kuala Lumpur, Kamala Shirin Lakhdir yang telah dihadiri oleh bakal rakan kerjasama niaga dalam industri tersebut.

Majlis promosi secara eksklusif itu diadakan khas dengan kerjasama Institut Wain California, Lembaga Penasihat Susu California dan Majlis Eksport Tenusu AS.

Pada majlis berkenaan, tetamu berpeluang menikmati tujuh jenis wain premium bersama keju artisan berkualiti tinggi dari pelbagai lokasi di AS.

William Verzani

Verzani berkata, AS sentiasa mencari ruang untuk meneroka pasaran negara ini, selaras dengan permintaan dan kesedaran masyarakat setempat yang dahagakan produk berkualiti tinggi.

“Kami sedang merancang untuk memasarkan daging lembu berkualiti tinggi dari AS di Malaysia, dengan penekanan kepada produk yang disahkan halal,” jelasnya lagi.

Sementara itu, ketika Kamala memberikan kata-kata pembukaan sambil berseloroh, kata beliau sangat berharap rata-rata rakyat negara ini akan menyukai produk-produk AS seperti ramai dalam kalangan rakyat negaranya yang amat menggemari durian.

“Saya harap anda-anda ini akan menyukai produk kami ini seperti kami suka pada durian,” ujarnya. –MalaysiaGazette