KAJANG- Pasaran hartanah negara mencatatkan penurunan daripada jumlah bilangan dan nilai transaksi ekoran ketidaktentuan politik global dan persekitaran ekonomi yang mencabar.
Bagi tahun 2016, sejumlah 320,000 transaksi bernilai RM145 bilion direkodkan dengan penurunan sebanyak 11.5 peratus (bilangan transaksi) dan penurunan tiga peratus (nilai).
Sub sektor kediaman terus memacu pasaran dengan menguasai sebanyak 63.4 peratus jumlah bilangan dan sebanyak 45.1 peratus nilai transaksi dengan menyaksikan sebanyak 203,000 transaksi bernilai RM65.6 bilion berjaya dicatatkan.
Berbanding tahun 2015, jumlah transaksi menurun sebanyak 13.9 peratus manakala nilai transaksi menguncup sebanyak 10.7 peratus.
Menurut Timbalan Menteri Kewangan 1, Datuk Othman Aziz, rumah mampu milik terus menguasai pasaran dengan menyumbang hampir 85 peratus daripada keseluruhan transaksi kediaman.
Jelasnya, kediaman berharga RM300,000 ke bawah mendominasi 65 peratus pasaran manakala kediaman berharga RM300,000 sehingga RM500,000 menyumbang 19.8 peratus.
Pasaran sekunder menguasai pasaran utama dengan menyumbang 80 peratus daripada jumlah transaksi harta kediaman.
“Dalam keadaan pasaran perlahan, pemaju perumahan mengambil tindakan menangguhkan pembinaan unit baharu.
“Ini boleh dilihat dalam bilangan unit kediaman mula dibina menurun 15.1 peratus kepada 121,000 unit berbanding 143,000 unit pada 2015,” katanya semasa berucap melancarkan Laporan Pasaran Harta 2016 dan Penjualan Data Sewaan di sini hari ini.
Dalam pada itu, menurut Othman, Indeks Harga Rumah Malaysia menunjukkan kenaikan harga yang semakin perlahan iaitu sebanyak 5.5 peratus pada suku keempat 2016 berbanding 7.2 peratus pada 2015 dan 7.2 peratus (2014).
Ini disumbang oleh peraturan dan sekatan yang dikenakan oleh Bank Negara Malaysia bagi membendung aktiviti spekulasi harga.
Tambahnya, sejajar dengan unjuran positif pertumbuhan ekonomi Malaysia, pasaran hartanah dijangka menerima impak yang lebih positif tahun ini.-MalaysiaGazette