Home Akhbar Cina Belajar aeroangkasa, tetapi jadi penghantar makanan

Belajar aeroangkasa, tetapi jadi penghantar makanan

Akibat penangan Covid-19, Muhammad Fuad Abdul Rahman terpaksa menyara keluarga dengan menjadi penghantar makanan di Pulau Pinang memandangkan tiada lagi kerja sebagai pemandu bas pelancong.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Peluang pekerjaan dalam bidang berkemahiran tinggi tidak selari dengan jumlah graduan universiti yang meningkat, menyebabkan ramai siswazah mendapat pekerjaan yang ‘lari’ daripada kelayakan mereka.

Keadaan itu menyebabkan terdapat siswazah kejuruteraan yang menjadi jurujual, penyelidik marin menjadi ejen insurans, pelajar undang-undang menjadi pemandu dan jurutera aeroangkasa menjadi penghantar makanan.

Kajian terkini oleh Institut Penyelidikan dan Pembangunan Polisi (IRPD) mendapati 1.2 juta orang muda telah menamatkan pengajian universiti dari 2014 hingga 2018, tetapi peluang pekerjaan baharu dalam pasaran hanya bertambah 284,300.

Sinchew Daily melaporkan, daripada jumlah itu, hanya 12 peratus peluang pekerjaan baharu atau 34,500 dikategorikan sebagai pekerjaan memerlukan pendidikan tinggi.

Laporan IRPD menyebut, keadaan itu memaksa golongan muda yang berpendidikan tinggi bekerja dalam bidang yang memerlukan kemahiran sederhana dan rendah.

“Ramai siswazah berdepan masalah pengangguran dan masalah kekurangan pekerjaan.”

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia, Datuk Shamsuddin Bardan berkata, dalam keadaan ekonomi yang lembab pada masa ini, ramai majikan memilih untuk tidak mengambil pekerja baharu.

“Ini merupakan punca yang membawa kepada kesusahan lepasan universiti mencari pekerjaan.

“Emosi pasaran cenderung kepada pengurangan kos pekerja pada tempoh ini, malahan ada syarikat yang mengurangkan pekerja atau tidak mengisi kekosongan yang ditinggalkan pekerja yang bersara,” katanya kepada Sinchew Daily. – MalaysiaGazette