Home Utama Tunggakan sewa PPR, PA cecah RM58 juta – Khalid

Tunggakan sewa PPR, PA cecah RM58 juta – Khalid

Menteri Wilayah Persekutuan, Yb Khalid Samad bercakap kepada media diiringi Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim (kiri) pada Perasmian Inisiatif Wilayah Peduli Komuniti Sejahtera di Dewan Perumahan Awam Desa Rejang, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 29 SEPTEMBER 2019

KUALA LUMPUR – Kadar tunggakan sewa yang gagal dijelaskan oleh penyewa Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam (PA) di ibu negara terkumpul sebanyak RM58 juta sehingga kini.

Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abdul Samad berkata, jumlah tunggakan itu melibatkan sebanyak 16,000 penyewa.

Beliau berkata, tindakan penamatan hanya akan dikenakan sekiranya penyewa masih ingkar dan degil menjelaskan tunggakan sewa berkenaan.

“Kementerian melakukan pelbagai program untuk penghuni bagi membantu mereka menambah pendapatan, sekali gus menaik taraf hidup.

“Selepas pendapatan bertambah, penyewa yang tertunggak perlu membayar tunggakan itu mengikut kemampuan walaupun secara ansuran.

“Namun tiada tempoh untuk tindakan akan diambil ke atas penyewa ini kerana kita ingin melihatkan dulu keberkesanan program yang kita anjurkan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan program Inisiatif Wilayah Peduli Komuniti Sejahtera di sini hari ini.

Program yang berlangsung di Perumahan Awam Desa Rejang itu turut melibatkan perasmian Unit Komuniti Polis dan Peti Cadangan Maklumat, pameran kerjaya dan pendidikan.

Turut hadir, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim dan Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan. – MalaysiaGazette