KUALA LUMPUR – Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) tidak akan bertoleransi dengan usaha mana-mana parti politik yang hanya mementingkan satu kaum dan agama sahaja di negara ini.
Presidennya, Datuk Dr Dominic Lau menegaskan, perkembangan situasi politik semasa itu disifatkannya sebagai tidak sihat dan pihaknya sama sekali tidak bersetuju apatah dalam menentukan hala tuju negara.
“Selepas gabungan UMNO-Pas, ia telah diteruskan oleh Pakatan Harapan (PH) di mana Perdana Menteri akan mengadakan satu persidangan untuk mempertahankan maruah orang Melayu.
“Kita nampak situasi ini adalah kurang sihat, ini kerana negara kita berbilang kaum yang terdiri daripada orang Melayu, Cina, India dan sebagainya.
“Gerakan sebagai parti berbilang kaum, kita tidak akan bertoleransi isu ini untuk membawa hala tuju negara yang mementingkan satu kaum dan satu agama. Gerakan tidak setuju,” katanya pada sidang media di ibu pejabat Gerakan, Menara PGRM, di sini, hari ini.
Jumaat lalu, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengesahkan kehadiran beliau ke Kongres Maruah Melayu yang akan berlangsung di Stadium Tertutup Malawati, Shah Alam, pada 6 Oktober ini.
Kongres yang bakal mengumpulkan 20,000 peserta dibuka hanya kepada orang Melayu itu dianjurkan oleh Pusat Kecemerlangan Melayu, Akademi Pengajian Melayu Universiti Malaya.
Dalam kongres itu, Dr Mahathir hadir atas kapasiti sebagai pemimpin Melayu dan bukannya Perdana Menteri atau pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).
Dominic juga menegaskan, Kerajaan PH tidak sewajarnya menganjurkan persidangan demikian yang dilihat berpihak dan memperjuangkan kaum dan agama tertentu sahaja.
“Oleh itu dengan perspektif berbilang kaum, agama dan kebudayaan yang tidak sama. Kita biasakan dengan pendekatan perpaduan dalam kepelbagaian.
“Tetapi kita nampak situasi politik pada hari ini bahawa satu politik yang menggunakan kaum tertentu atau agama tertentu untuk memimpin negara itu memanglah tidak sihat,” katanya lagi. – MalaysiaGazette