KAJANG – Bahagian utara Semenanjung Malaysia memerlukan sebuah lagi lapangan terbang, kata Timbalan Menteri Kewangan 1, Datuk Othman Aziz.
Ia perlu memandangkan keadaan Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas, Pulau Pinang kini yang semakin sesak.
Jika menjadi realiti, ia menjadi lapangan terbang ketiga di Kedah selepas Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim, Alor Setar dan Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi.
Menurutnya, kerajaan secara dasarnya bersetuju dengan pembinaan sebuah lagi lapangan terbang baharu itu namun semuanya masih tertakluk kepada hasil kajian kebolehlaksanaan yang sedang dilakukan oleh pelbagai pihak termasuk Kementerian Pengangkutan.
Menurutnya, hasil kajian tersebut dijangka diketahui dalam tempoh lebih dua bulan daripada sekarang.
“Secara peribadinya, saya melihat ada keperluan (untuk memiliki sebuah lapangan terbang baharu) dalam jangka masa panjang apabila melihatkan kepada keadaan Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas yang semakin sesak dan tidak boleh diperluaskan lagi.
“Cuma kerajaan perlu buat keputusan untuk memilih lokasi di mana lapangan terbang baharu itu akan dibina. Cadangan yang ada sekarang adalah di Kulim dan ini bukan untuk bersaing dengan Pulau Pinang cuma keadaan memerlukan pada masa akan datang.
“Kita masih menunggu keputusan kajian kebolehlaksanaan tersebut dan tidak mahu membuat sebarang pengumuman apa-apa tetapi secara dasarnya kerajaan bersetuju untuk membina sebuah lapangan terbang baharu di utara,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Laporan Pasaran Harta 2016 dan Penjualan Data Sewaan di sini hari ini.
Bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhriz Mahathir sebelum ini pernah mencadangkan sebuah lapangan terbang baharu dibina di Kulim, Kedah. -MalaysiaGazette