Home Pendapat IR4.0: Kompetensi dan integriti

IR4.0: Kompetensi dan integriti

KONDISI semasa membayangkan masyarakat kini sedang mengalami arus perubahan dan membentuk satu kelompok masyarakat yang baharu, yang dikenali sebagai masyarakat bermaklumat dan berteknologi. Realiti kini adalah kita sudah
pun berada di dalam satu era ketika teknologi sudah pun menjadi sebahagian daripada cara hidup dan mentaliti berfikir. Nyatanya, seluruh negara dialunkan dengan irama Revolusi Perindustrian 4.0 (IR4.0) yang kedengaran saban hari oleh
pemimpin negara, pemain industri dan golongan akademik dalam pelbagai bidang.

Sedar tidak sedar kemunculan teknologi masa hadapan seperti Kecerdasan Buatan (AI), the internet of things (IoT), dan analisis data besar (big data) telah menjadi agenda sembang masyarakat di kedai-kedai mamak, kopitiam mahupun kafe-kafe hipster.

Dalam hal ini, IR 4.0 telah membawakan sebuah paradigma mutakhir kepada manusia yang menuntut kompetensi global dan integriti yang lebih holistik. Persoalannya, apa itu kompeten? Apa pula domain kompetensi? Bagaimana isu integriti mewarnai fenomena IR4.0?

Pembahasan terhadap kompetensi, baik secara konseptual mahupun secara praktikal, menunjukkan bahawa kompetensi sangat penting dalam kehidupan manusia. Memiliki kompetensi bermaksud akan menjadi aset bagi seseorang dalam
meraih kecemerlangan.

Kecemerlangan tersebut akan ditentukan oleh kualiti kompetensi yang teradun secara seimbang antara domain pengetahuan, sikap, dan keterampilan. Perbahasan seterusnya ialah apa kepentingan domain ini perlu
diintegrasikan secara strategik bagi pembangunan sumber manusia kompeten dan masyarakat berkompetensi?.

Pertama, pengetahuan pada diri seseorang akan lebih dinamik apabila disinergikan bersama keterampilan dan sikap secara seimbang. Jika gagal, pengetahuan hanya tinggal sebagai informasi yang statik. Ini adalah kerana semakin tinggi pengetahuan seseorang akan semakin tinggi pula hubungan dengan keterampilan dan sikapnya.

Kedua, potensi keterampilan pada diri seseorang akan lebih terserlah apabila teradun dengan pengetahuan dan sikap secara seimbang. Potensi keterampilan akan berkembang secara optimum dengan dukungan pengetahuan dan sikap yang
memadai.

Ketiga, potensi sikap pada diri seseorang sangat terkait dengan tingkat pengetahuan dan keterampilannya. Seseorang yang kompeten harus mempunyai kesedaran yang tinggi, terkawal, dan konsisten dalam melakukan tindakan sesuai dengan situasi yang dihadapinya. Jika demikian, aspek pengetahuan dan keterampilan tanpa sikap yang positif tidak memberi manfaat.

Mendepani cabaran IR4.0 kita perlu memiliki keupayaan untuk membina masyarakat berkompetensi yang pelbagai kecenderungan bakat, kalis masa hadapan (future proof), cekal dan sentiasa mempunyai daya adaptasi terhadap perubahan. Justeru, pentingnya penguasaan elemen 4C iaitu Critical Thinking & Problem Solving, Communication, Collaboration dan Creativity.

Kompetensi ini perlu diberi perhatian demi kelangsungan masa hadapan. Dalam konteks Malaysia kompetensi yang ingin dibangunkan sewajarkan diadun dengan elemen C baharu iaitu Core Values atau nilai teras.

Masyarakat yang dibangunkan bersama nilai teras adalah untuk memastikan anak-anak kita mempunyai nilai-nilai kemanusiaan, cinta, kebahagiaan dan saling menghormati dalam menggapai pencapaian yang lebih tinggi. Kami mahu semua pihak mengambil nilai-nilai ini sebagai falsafah yang jelas tentang bagaimana kita berharap dapat membentuk masyarakat kita, dan mengintegrasikannya ke dalam cara berfikir, bertindak dan membuat keputusan setiap hari.

Setidak-tidaknya mampu membangunkan struktur masyarakat baharu yang baik serta memiliki nilai murni. Teknologi juga diharapkan mampu melaksanakan fungsinya hanya sebagai alat untuk mempermudah tugas sehingga manusia dapat menjalankan hidupnya dengan baik dan lebih bermakna.

Sesungguhnya kita tidak dapat lari daripada apa juga perkembangan teknologi yang berlaku di masa kini dan akan datang, justeru nilai kemanusiaan dan kerohanian perlu diperkukuh selari dengan usaha kita mendepani cabaran global. Sehubungan itu, satu revolusi kemanusiaan juga perlu untuk menangani ketirisan nilai yang berlaku hasil daripada revolusi industri terdahulu. – MalaysiaGazette

DR. MOHAMAD ROZI HASSAN, Pensyarah Kanan Universiti Malaysia Pahang (UMP) merangkap Penasihat Teknikal Pertubuhan Kebangsaan Pekerja Berkemahiran (PKPB)