Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) menerusi kenyataan hari ini memberitahu, bagaimanapun terdapat bangunan tinggi serta pangsapuri yang masih mengalami gangguan bekalan air kerana tekanan air rendah akibat ketiadaan pam air atau pam air tidak diselenggara dengan baik.
“Kesabaran dan kerjasama semua pengguna yang terjejas sepanjang pihak kami melaksanakan proses pemulihan bekalan air dengan pengepaman keluar air mentah dari kolam alternatif ke Sungai Melaka serta pengepaman air secara maksimum ketika paras air sungai tinggi akibat hujan lebat di kawasan hulu Sungai Melaka amat dihargai.
“SAMB merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak termasuk kerajaan negeri, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara, agensi kerajaan, pihak berkuasa tempatan, operator air negeri lain dan semua pihak terlibat yang menghulur bantuan sepanjang usaha pemulihan bekalan air,” menurut kenyataan itu.
Pada Khamis lepas (26 Sept), SPAN memaklumkan pihaknya meluluskan bekalan air berjadual melibatkan 78,405 akaun pengguna di sekitar Bandar Melaka, bagaimanapun kerajaan negeri melalui SAMB menangguhkan pelaksanaannya berikutan paras air di sungai dan loji rawatan di negeri ini semakin pulih. – MalaysiaGazette