Home Nasional Polis siasat dakwaan sekolah larang pelajar muslim berdoa

Polis siasat dakwaan sekolah larang pelajar muslim berdoa

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pendakwaan dan Undang-undang D5 Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, SAC Mior Faridalatrash Wahid bercakap pada sidang media Harian Polis DiRaja Malaysia di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 30 SEPTEMBER 2019

KUALA LUMPUR – Polis telah memulakan kertas siasatan terhadap dakwaan sebuah Sekolah Kebangsaan Methodist (P) Pulau Pinang yang melarang pelajar berdoa mengikut agama Islam sebaliknya membenarkan doa untuk Kristian.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pendakwaan dan Undang-Undang Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Mior Faridalathrash Wahid berkata, kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 505 (c) Kanun Keseksaan berdasarkan laporan polis termasuk ibu bapa pelajar yang terlibat dalam Majlis Hari Kecemerlangan Pelajar 2019 sekolah tersebut.

“Berhubung kejadian itu menerima banyak laporan polis termasuk daripada ibu bapa murid sekolah terbabit selain laporan polis dari awam dari seluruh negara.

“Sehingga kini, polis sudah memanggil dan merakam percakapan hadirin ke majlis itu termasuk pengurusan sekolah serta ibu bapa murid-murid itu,” katanya dalam sidang media hari ini.

Dalam satu lagi perkembangan kes berhubung isu penularan kenyataan pemberian 200,000 sijil kewarganegaraan kepada warga China pula, katanya, polis membuka kertas siasatan dibawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan.

Beliau mengesahkan laporan polis diterima dari Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara, Datuk Ruslin Jusoh semalam di Ibu Pejabat Polis Daerah Putrajaya sebagai menafikan tohmahan itu dan meminta siastan polis dalam perkara itu.

“Ekoran itu polis telah menjalankan siastan dibawah 500 KK berikutan dua kenyataan dalam laman FB dan Twitter yang memakai nama akaun Tengku Raja Alam Shah dan pemiliknya dikesan serta sedang disiasat.

“Kita siasat kedua dua akaun itu dan kita nantikan hasilnya bagaimanapun siasatan awal mendapati kedua dua akaun itu akaun palsu untuk tujuan mengkritik JPN,” katanya lagi.

Dalam kes keputusan Inkues kematian Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim, katanya, polis meminta kerjasama mana- mana saksi yang mempunyai maklumat supaya tampil bekerjasama dengan polis.

“Kita sudah panggil saksi lama rakam keterangan, kalau diperlukan lagi akan dipanggil semula dan saya minta sesiapa saksi yang kejadian ada maklumat sila tampil salurkan kepada kita untuk membantu siasatan,” tegasnya.-MalaysiaGazette