Home Utama Tiada elemen jenayah cuma salah cara urus punca prestasi buruk LTAT

Tiada elemen jenayah cuma salah cara urus punca prestasi buruk LTAT

Lebihan dividen bagi tahun 2016 dan 2017 yang ditunjukkan pada sidang media Pengumuman Penyata Kewangan LTAT 2018 di Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 30 SEPTEMBER 2019.

KUALA LUMPUR – Prestasi buruk Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) yang menyaksikan penurunan lebih 51.9 peratus pendapatan bersihnya pada 2018 tidak mengandungi elemen jenayah.

Pengerusinya, Jeneral (B) Tan Sri Mohd. Zahidi Zainuddin berkata, ianya adalah disebabkan oleh kesilapan mengurus.

Bagaimanapun, entiti itu tidak teragak-agak untuk membawa pesalah ke muka pengadilan sekiranya mendapati elemen jenayah sehingga menyebabkan LTAT mencatatkan prestasi kewangan yang teruk.

“Tiada unsur jenayah cuma salah cara mengurus.

“Tetapi jika ada keperluan untuk melakukan siasatan lanjut, kami akan menyerahkannya kepada pihak berkuasa yang berkaitan,” katanya semasa sidang media pengumuman prestasi kewangan LTAT 2018 di sini hari ini.

LTAT merekodkan pendapatan bersih belum audit sebanyak RM221 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2018, jatuh 51.9 peratus berbanding pendapatan bersih yang dinyatakan semula sebanyak RM459.5 juta pada 2017.

Pengerusi Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), Jeneral (B) Tan Sri Dr Mohd Zahidi Zainuddin bersama Ketua Pegawai Eksekutif LTAT, Nik Amlizan Mohamed berbincang mengenai Pengumuman Penyata Kewangan LTAT 2018 pada sidang media di Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 30 SEPTEMBER 2019.

Antara faktor penyumbang kepada prestasi buruk tersebut adalah akibat penjualan dua bidang tanah yang belum dimuktamadkan bernilai RM238.8 juta pada 2016 sehingga menyebabkan pendapatan pada tahun berkenaan perlu diselaraskan semula.

Keadaan yang sama juga berlaku pada tahun kewangan 2017.

LTAT juga telah membayar dividen di luar kemampuan pada tahun kewangan 2016 dan 2017.

Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), Nik Amlizan Mohamed bercakap pada sidang media Pengumuman Penyata Kewangan LTAT 2018 di Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 30 SEPTEMBER 2019.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutifnya, Nik Amlizan Mohamed berkata, pasukan pengurusan baharu LTAT yang diketuai beliau mahu memberi fokus kepada perancangan masa hadapan untuk memberi pulangan yang lebih baik kepada ahli-ahlinya.

Katanya, pihak pengurusan tidak mahu menghabiskan terlalu banyak masa dengan isu lampau.

“Kami mahu melangkah ke hadapan dan berilah kami peluang untuk fokus kepada perancangan masa hadapan.

“Kami menghargai dan mengambil kira semua cadangan (untuk mengambil tindakan undang-undang kepada pengurusan lama) termasuk daripada Patriot.

“Kami akan berjumpa mereka tidak lama lagi,” katanya lagi.

Jumaat lalu, Persatuan Patriot Kebangsaan (PATRIOT) mahu siasatan lanjut dilakukan berhubung pelbagai ketidakpatuhan dan kelemahan tadbir urus kewangan LTAT.

Presidennya, Datuk Mohd Arshad Raji, berkata ini bagi memastikan tindakan dapat diambil terhadap mereka yang terbabit dan menyebabkan masalah itu, selain mengembalikan semula keyakinan pencarum terhadap LTAT. – MalaysiaGazette