Home Utama Mana Rafizi ketika LTAT catat prestasi buruk? – Hishammuddin

Mana Rafizi ketika LTAT catat prestasi buruk? – Hishammuddin

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menyindir Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli berhubung prestasi kewangan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) hari ini.

Hishamuddin mempersoalkan, sama ada Pengarah Strategik PKR itu hendak berdiam seribu bahasa selepas LTAT mengumumkan kemerosotan pelaburan dan jangkaan kerugian yang dialami oleh badan berkanun kerajaan berkenaan.

“Tak pernah lagi dalam sejarah LTAT, dividen diumum lewat berbulan-bulan. Sampaikan dah nak masuk Oktober baru umum dividen? Dah la lewat umum, dividen pula cuma dua peratus, terendah sejak tahun 1973.

“Tahun 2016 dulu, apabila kita umum dividen 12 peratus bagi tahun kewangan 2015, Rafizi Ramli melenting sampai hendak buat analisa kewangan serta bawa LTAT ke mahkamah.

“Sekarang agak-agak beliau hendak buat apa pula ya? Ke diam seribu bahasa je?” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Hishamuddin yang juga bekas Menteri Pertahanan berkata, cukup-cukuplah kerajaan hari ini menyalahkan pentadbiran terdahulu kerana semua orang tahu selepas memenangi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 lalu, dua aset terbesar LTAT iaitu Boustead dan Affin Bank mengalami kejatuhan nilai saham paling teruk dalam sejarah.

Katanya, ia belum termasuk perihal Hotel Royal Chulan milik Boustead yang dijual kepada Singapura dengan harga rendah daripada harga pasaran.

“Ini semua berlaku zaman PH, semangat Kerajaan Malaysia Baru kononnya. Walhal, menggadai bukan membina,” ujarnya.

Hari ini pada dalam satu sidang media, Pengerusi LTAT, Jeneral (B) Tan Sri Mohd. Zahidi Zainuddin mengumumkan prestasi buruk LTAT yang menyaksikan penurunan lebih 51.9 peratus pendapatan bersihnya pada 2018.

Mohd. Zahidi berkata, penurunan itu berlaku akibat kesilapan mengurus dan pihaknya tidak teragak-agak untuk membawa pesalah ke muka pengadilan sekiranya mendapati terdapat elemen jenayah sehingga menyebabkan LTAT mencatatkan prestasi kewangan yang teruk.

Dalam pada itu Hishamudddin turut melemparkan kata sinis terhadap Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu dan Pakatan Harapan agar menerima hakikat bahawa bahawa mereka telah gagal dalam mentadbir negara.

“Gagal sekali mengurus tadbir Kementerian Pertahanan Malaysia dengan baik serta terus perjudikan kebajikan para anggota dan warganya.

“Tak payahlah difokuskan gajah bertembung, rumput mati di tengah-tengah tu, fokuslah kepada kebajikan anggota ATM, perwira sebenar kita semua yang rela mati demi negara!” tegasnya.

Katanya, PH khususnya Kementerian Pertahanan perlu mengambil tanggungjawab bagi menjelaskan kepada rakyat cerita sebenar di sebalik kegagalan itu dengan tidak sesekali cuba membaling batu sembunyi tangan, kerana rakyat sudah bosan. – MalaysiaGazette