KUALA LUMPUR – Pengerusi Veteran UMNO, Othman Desa menegaskan bahawa agenda Muafakat Nasional di antara UMNO dengan Pas lebih besar berbanding Kongres Maruah Melayu yang akan berlangsung pada Ahad ini.
Othman berkata, meskipun dua parti Melayu Islam itu pernah bermusuhan kerana politik, namun perbezaan itu tidak boleh mengatasi agenda yang dibawa dalam Muafakat Nasional.
“Agenda Muafakat Nasional agenda besar, isu-isu dalam Pas dan UMNO itu isu kecil jika dibandingkan dengan agenda besar yang boleh pergi jauh.
“Himpunan Penyatuan Ummah sokongan akar umbi kita dapat lihat cukup hebat.
“Kita lihat ini sebagai agenda besar, tiba-tiba ada pihak lain hendak buat (Kongres Maruah Melayu), kita buat Himpunan Penyatuan Ummah di saat (rakyat) memerlukan,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat bersama Assabiqun Pas di pejabat Veteran UMNO, di sini, hari ini.
Hadir sama Pengerusi Assabiqun Pas, Subky Latif dan Setiausaha Agung Veteran UMNO, Mustapha Yaakub.
Beliau mengulas dakwaan Naib presiden Umno, Datuk Seri Mohamed Khalid Nordin bahawa kongres untuk orang Melayu itu menggunakan institusi pengajian tinggi sebagai alat politik.
Kongres Maruah Melayu akan berlangsung di Stadium Tertutup Malawati, Shah Alam, Ahad ini turut mengundang Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai tetamu kehormat.
Ketika ditanya tentang kesediaan Veteran UMNO untuk menyertai kongres itu, Othman bagaimana pun berkata, pihaknya tidak mendapat sebarang jemputan.
“Sertai atau tidak itu terpulang kepada pucuk pimpinan UMNO yang akan menentukannya,” katanya.
Sementara itu, Subky yang mewakili Assobiqun Pas pula senada dengan pendirian Veteran UMNO sambil menegaskan menyerahkan perkara itu kepada Pas Pusat.
“Kita tidak mahu mendahului keputusan ataupun padangan parti dalam hal ini.
“Bagi Assabiqun dan Veteran UMNO, tidak ada politik asing daripada politik Muafakat Nasional,” katanya lagi. – MalaysiaGazette