Home Nasional Negaraku, hanya orang mabuk dan tidak siuman enggan berdiri – A. Kadir...

Negaraku, hanya orang mabuk dan tidak siuman enggan berdiri – A. Kadir Jasin

Penasihat Media dan Komunikasi di Pejabat Perdana Menteri, Datuk A. Kadir Jasin bercakap kepada media selepas hadir pada Majlis Konsultasi Pakar Nasional (NEC) mengenai Kebebasan Bersuara dan Ucapan Benci di DoubleTree by Hilton Hotel, Kuala Lumpur. foto NOOREEZA HASHIM, 01 OKTOBER 2019.

KUALA LUMPUR – Hanya  orang gila dan mabuk tidak berdiri ketika  lagu Negaraku dimainkan.

Ujar wartawan veteran yang juga bekas Pengarang Kumpulan New Straits Times (NST), Datuk A Kadir Jasin, semua rakyat bertamadun yang menghormati undang-undang sepatutnya tidak menggunakan apa juga alasan untuk tidak berdiri ketika mendengar lagu kebangsaan.

“Kita adalah warganegara dan kita adalah orang yang bertamadun, kita adalah orang yang menghormati undang-undang dan adat resam.

“Kecuali kita ketika itu mabuk atau kita tidak siuman selalunya kita akan berdiri ketika lagu kebangsaan dinyanyikan atau dimainkan malah kalau di luar negara sekalipun dalam majlis rasmi apabila lagu kebangsaan negara kita atau negara berkenaan dimainkan kita akan berdiri menunjukkan hormat,” katanya kepada wartawan. 

Beliau ditemui selepas Majlis Konsultasi Pakar Nasional (NEC) mengenai Kebebasan Bersuara dan Ucapan Benci.

Mengulas lanjut A. Kadir menyokong penuh tindakan undang-undang dikenakan terhadap lapan individu  yang juga ahli ‘Sarawak for Sarawakians’ (S4S) kerana tidak berdiri sebagai tanda hormat ketika ‘Negaraku’ dimainkan seperti yang tular dalam video baru-baru ini.

Untuk rekod kesemua lapan individu itu semalam dipanggil untuk memberi keterangan.

Difahamkan polis  sudah memulakan siasatan mengikut Seksyen 8 (3) Akta Lagu Kebangsaan 1968.

Dalam akta berkenaan, pelaku boleh dikenakan denda tidak melebihi RM1,000 atau penjara tidak lebih sebulan, kerana tidak berdiri ketika lagu kebangsaan dimainkan.-MalaysiaGazette

Artikel berkaitan

Tidak hormat lagu Negaraku: 8 individu dipanggil beri keterangan

Siapa mereka dan mengapa tidak berdiri ketika lagu NegaraKu dinyanyikan?