Home Nasional Guru ‘dipaksa rela’ jadi warden sekolah – NUTP

Guru ‘dipaksa rela’ jadi warden sekolah – NUTP

Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) Aminuddin Awang mendakwa masih terdapat guru 'dipaksa rela' menjadi warden sekolah berasrama penuh oleh pengetua.

KUALA LUMPUR – Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) Aminuddin Awang mendakwa masih terdapat guru ‘dipaksa rela’ menjadi warden sekolah berasrama penuh oleh pengetua.

Katanya tindakan itu bukan sahaja menambah bebanan tugas hakiki seorang guru, skop kerja tambahan tersebut juga akan menjadikan tanggungjawab seorang pendidik itu tidak efisien.

“Saya percaya tiada guru yang sukarela untuk menjadi warden. Mereka ini ‘dipaksa’ untuk menjadi warden, hanya sesetengah sekolah membuat sistem penggiliran memandangkan ramai guru menolak untuk menjadi warden. Maksudnya pada tahun ini guru ini, tahun berikutnya diganti dengan guru lain.

“Berdasarkan situasi ini saya sarankan kepada kerajaan sekali lagi agar diwujudkan warden bukan dalam kalangan guru. Kita pernah mencadangkan agar diwujudkan warden sepenuh masa, tetapi cadangan itu ditolak oleh Kementerian Pendidikan,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Aminuddin berkata apabila menyentuh soal sekolah asrama penuh, warden memainkan peranan penting kerana guru tersebut mempunyai dua tugas yang perlu dilakukan sepanjang hari sehingga waktu malam dan tetap bertugas pada hari minggu.

Beliau berkata ia jelas menunjukkan warden sangat terbeban dan risiko yang ditanggung itu membuktikan skop tugas mereka lebih mencabar dan ditambah dengan tanggungjawab hakiki di sekolah menyebabkan mereka tidak mampu menumpukan perhatian kepada tugas sebagai warden.

“Dalam hal ini bagi memastikan mereka ini dapat menjalankan tugas dengan lebih berkesan kita amat mengharapkan agar kajian dibuat secara khusus oleh Kementerian Pendidikan bagi mengatasi masalah ini,” katanya.

Sementara itu Pengerusi Kumpulan Bertindak Ibu Bapa bagi Pendidikan (PAGE) Datin Noor Azimah Abdul Rahim berkata masalah buli masih berleluasa di sekolah, terutamanya di sekolah asrama penuh.

Jelasnya pentadbir sekolah masih tidak dapat mengawalnya dengan baik dan pihak sekolah asrama penuh disarankan mengkaji semula Prosedur Operasi Standard (SOP) masing-masing agar isu buli dalam kalangan pelajar dapat dibendung.

“Kes buli perlu diambil serius, ia bukan perkara remeh kerana perkara itu boleh memalukan pihak sekolah. Perkara ini tidak patut bertolak ansur atau ambil mudah,” jelasnya.

Media tempatan sebelum ini melaporkan keputusan penghakiman oleh Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu yang memutuskan tuntutan RM616,634.20 kepada seorang bekas pelajar Sekolah Menengah Sains Sultan Mahmud (SESMA) yang menjadi mangsa buli, empat tahun lepas.

Hakim Datuk Zainal Azman Ab Aziz memerintahkan lima pembuli yang juga bekas pelajar sekolah itu selaku defendan pertama hingga lima yang kini berusia 21 tahun, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid, Sulaiman Ngarif (defendan keenam); bekas pengetua SESMA, Meriam Jusoh (defendan ketujuh); Ketua Pengarah Kementerian Pendidikan Malaysia (defendan kelapan) dan Kerajaan Malaysia (defendan kesembilan) membayar tuntutan itu.

— BERNAMA