Home Nasional #BoycottMalaysia: Warganet pertahan Tun M

#BoycottMalaysia: Warganet pertahan Tun M

Tun Dr Mahathir Mohamad ketika menyampaikan kenyataannya pada Perbahasan Umum Sesi ke-74 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA).

KUALA LUMPUR- Siapa yang tidak kenal dengan kelantangan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad di dalam memperjuangkan isu-isu kemanusian.

Terbaharu beliau menyuarakan pandangannya terhadap isu yang sedang melanda Jammu dan Kashmir – dua buah wilayah yang ditadbir India dan bersempadan dengan Pakistan.

Bagaimanapun, pandangan ikhlas beliau yang mahu isu tersebut ditangani dengan aman mengikut arahan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan undang-undang disalaherti oleh warganet terutama sekali rakyat India.

Sejak tersiarnya petikan ucapan Mahathir di Perhimpunan Agung PBB (UNGA) beberapa hari lalu, warganet mula menggerakkan kempen #BoycottMalaysia.

Mereka tidak boleh menerima pendapatan Mahathir yang mengatakan India ingkar terhadap resolusi PBB dan menyebabkan wilayah tersebut diceroboh dan dijajah.

Seorang wartawan India, Abhijit Majumder dalam ciapannya menggelarkan Malaysia sebuah negara ganas.

“#BoycottMalaysia. Jika tidak penting, tidak perlu ke negara itu. Jauhi perdagangan. Ia sebuah negara yang ganas kerana diketuai oleh seorang yang bodoh dan tidak bijak,” katanya.

Manakala seorang lagi pengguna Twitter, Annkit Angaria berkata, kempen boikot Malaysia itu adalah cara terbaik untuk menunjukkan pendirian India terhadap isu Kashmir.

“Ini adalah cara terbaik untuk menyatakan pendirian India terhadap #Kashmir. Ia merupakan satu gerakan bukan keganasan dan sejajar dengan pendirian rakyat.

“Sudah tiba masanya rakyat India meneroka destinasi-destinasi pelancongan yang lain,” katanya.

Warganet tempatan pula pastinya tidak berdiam diri apabila Malaysia dan perdana menterinya dikecam di peringkat antarabangsa.

“Kami ‘masuk campur’ kerana orang yang kamu bunuh, seksa dan penjarakan adalah orang Islam.

“Malaysia adalah sebuah agama Islam jadi apakah anda ingat kami hanya akan berpeluk tubuh dan menyaksikan saudara-saudara kami dibunuh? #BoycottMalaysia,” kata seorang warga Twitter, Aliff Imran.

Manakala seorang rakyat India yang tinggal di negara ini, Anirudh Narayan mempertahankan kenyataan Mahathir yang mahu menyampaikan mesej kepada dunia mengenai nasib yang sedang menimpa penduduk Kashmir.

“Sebagai seorang individu yang tinggal di India dan Malaysia, #BoycottMalaysia tidak masuk akal.

“Malaysia bukan negara yang anti India atau Hindu (sekali sahaja melawat Malaysia sudah cukup untuk anda mengetahuinya). Apa yang @chedetofficial sampaikan adalah mengenai keadaan di Kashmir ketika ini. Fokus kepada rakyat!,” katanya.- MalaysiaGazette