Home Sukan FIFA arah Cardiff City bayar perpindahan mendiang Sala

FIFA arah Cardiff City bayar perpindahan mendiang Sala

Mendiang Emiliano Sala

LAUSANNE – Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) mengarahkan Cardiff City supaya membayar sebanyak enam juta euro (RM27.38 juta) kepada Nantes berhubung pertikaian yuran perpindahan mendiang Emiliano Sala.

Bayaran itu merupakan ansuran pertama daripada yuran 17 juta euro (RM77.57 juta) yang dipersetujui Cardiff bersama Nantes sebelum Sala meninggal dunia berikutan nahas kapal terbang pada 21 Januari lalu ketika mendiang dalam perjalanan untuk ke kelab barunya.

Sebelum ini, Cardiff tidak membuat sebarang bayaran meskipun urusan perpindahan sudah diselesaikan sebelum kemalangan itu berlaku.

“Bagi menjaga kerahsiaan, buat masa ini kami tidak boleh mengulas tentang kemungkinan pembayaran ansuran pada masa akan datang atau syarat lain dalam perjanjian perpindahan itu,” kata FIFA menerusi kenyataan, lapor AFP.

Pengumuman yang dibuat badan induk bola sepak dunia itu dilakukan selepas mesyuarat bersama Jawatankuasa Status Pemain FIFA.

FIFA berkata, mereka tidak pernah mengabaikan keadaan unik khususnya terhadap situasi tragik yang berlaku melibatkan pemain-pemain.

Kedua-dua kelab boleh mengemukakan rayuan kepada Mahkamah Timbang Tara Sukan, biarpun dalam satu kenyataan lain Nantes berkata mereka berpuas hati dengan keputusan FIFA. – MalaysiaGazette