Home Nasional 1MDB: Shahrol terima bonus hampir RM1.5 juta pada 2012

1MDB: Shahrol terima bonus hampir RM1.5 juta pada 2012

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi (kanan) hadir bagi perbicaraan kes 1Malaysia Developement Berhad (1MDB) melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 01 OKTOBER 2019.

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu oleh bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1Malaysia Development Berhad (1MDB) bahawa beliau menerima bonus 18 bulan gaji pada tahun 2012, semasa menerima gaji RM80,000 sebulan.

Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi, 49, berkata beliau juga menerima bayaran sebagai anggota lembaga pengarah, elaun yang sama seperti lain-lain anggota lembaga, yang berjumlah RM179,000 setahun dan RM1,500 setiap mesyuarat.

Saksi pendakwaan kesembilan itu berkata demikian semasa menjawab soalan tambahan daripada timbalan pendakwa raya kanan Datuk Seri Gopal Sri Ram pada hari ke-16 perbicaraan berkaitan 1MDB yang melibatkan bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Sri Ram: Adakah yang dituduh menyuarakan sebarang rasa puas hati dengan kerja-kerja anda

Shahrol Azral: Oh ya.

Sri Ram: Boleh berikan contoh insiden di mana dia menyuarakannya

Shahrol Azral: Pada tahun 2011 atau 2012, saya terima panggilan di pejabat saya daripada setiausaha sulit perdana menteri ketika itu, yang memberitahu perdana menteri hendak bercakap.

“Ketika itu Datuk Seri Najib ingin tahu mengenai status projek-projek tanggungjawab sosial korporat yang sedang kami laksanakan untuk Yayasan 1MDB.

“Saya sangat teruja dan saya ingat lagi semasa perbualan itu saya dengan sopan memotong cakap Datuk Seri Najib beberapa kali semasa dia bertanyakan soalan, kerana saya tahu apa yang ditanya, saya ada jawapannya dan saya sangat gembira bercakap secara terus dengannya,” katanya.

Sri Ram: Kenapa anda gembira

Shahrol Azral: Dia ada perdana menteri, bukan selalu anda dapat peluang untuk bercakap dengan perdana menteri.

“Beberapa hari kemudian, Jho Low beritahu saya dia (Jho Low) bercakap dengan Najib yang memberitahu berkenaan perbualan itu, dan dia (Jho Low) beritahu saya “bos sangat gembira, dan nampak Shahrol mengawal semuanya dengan baik”.

Semasa ditanya sama ada beliau mendapat sebarang ganjaran berbentuk wang kemudiannya, saksi itu berkata beliau mendapat bonus bagi tahun 2012.

Sri Ram: Bonus berapa bulan

Shahrol Azral: Bonus 18 bulan. Ketika itu gaji saya sekitar RM80,000.

Saksi itu turut berkata beliau menerima RM80,000 sebulan semasa beliau mula bertugas dengan Terengganu Investment Authority Berhad, sebelum ia bertukar kepada 1MDB.

“Di 1MDB, saya terima kenaikan gaji setiap tahun. Gaji terakhir saya adalah RM99,000 sebulan,” katanya.

Najib, 66, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang yang sama.

Ahli Parlimen Pekan itu didakwa melakukan empat kesalahan rasuah di Cawangan AmIslamic Bank Berhad, Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon di sini antara 24 Feb, 2011 dan 19 Dis, 2014 manakala bagi semua pertuduhan pengubahan wang haram antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013, di tempat sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung Isnin.

— BERNAMA