Home Akhbar Cina Tanjung Piai: Betul-betul kebetulan?

Tanjung Piai: Betul-betul kebetulan?

Peta kawasan Pilihan Raya Kecil pada sidang media PKR Parlimen P.165 Tanjung Piai Johor.

PUTRAJAYA: Tarikh Pilihan Raya Tanjung Piai yang bertembung dengan Perhimpunan Agung UMNO dan Mesyuarat Agung MCA telah menimbulkan pertikaian daripada dua parti itu sama ada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berpihak kepada parti pemerintah.

Pengerusi SPR, Datuk Azhar Azizan Harun bagaimanapun menjelaskan, SPR tidak berat sebelah dan kesal bahawa tarikh yang ditetapkan itu bertembung dengan program penting UMNO dan MCA.

Azhar berkata, pencalonan dan pengundian ditetapkan pada Sabtu kerana cuti Johor adalah pada Jumaat dan Sabtu.

“Disebabkan solat Jumaat dan hari berkerja pada Ahad, jadi Sabtu menjadi pilihan kami. Pada masa ini hanya terdapat enam hari Sabtu yang boleh dipertimbangkan,” katanya kepada Sinchew Daily.

Jelasnya, 5 Oktober tidak dipertimbangkan kerana ialah Hari Hol Johor.

“12 Oktober dan 26 Oktober juga tidak boleh kerana kami tidak mahu tempoh kempen bertembung dengan musim Deepavali.

“Faktor Deepavali juga menyebabkan 19 Oktober dan 2 November tidak sesuai. Jika hari pengundian ditetapkan pada 2 November, maka pengundian awal adalah pada 28 Oktober, iaitu hanya dua hari selepas Deepavali,” katanya.

Beliau berkata, keadaan itu menyebabkan masing-masing 2 November dan 16 November ditetapkan sebagai hari pencalonan dan pengundian.

“SPR tidak akan memilih 23 November kerana pilihan raya kecil harus diadakan dalam tempoh 60 hari dan 23 November merupakan hari terakhir.

“Dengan memilih 16 November sebagai tarikh mengundi, kami masih ada masa seminggu untuk mengambil tindakan bersesuaian jika pengundian tidak dapat dijalankan secara lancar pada 16 November atas masalah kecemasan yang tidak dijangkakan,” katanya.

Pengumuman hari pencalonan pada 2 November dan pengundian pada 16 November mengundang rasa tidak puas hati UMNO dan MCA.

MCA akan menjalankan mesyuarat agung selama dua hari dari 2 hingga 3 November sementara UMNO mengadakan perhimpunan agung dari 13 hingga 16 November.

Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong telah bertanya sama ada pertembungan tarikh itu merupakan satu kebetulan.

Pemimpin UMNO pula berpendapat SPR cuba membantu Bersatu untuk memenangi Pilihan Raya Kecil Tanjung Piai. – MalaysiaGazette