Home Nasional Kongres Maruah Melayu: Jangan sekadar resolusi

Kongres Maruah Melayu: Jangan sekadar resolusi

Tun Dr Mahathir Mohamad akan menyampaikan ucapan pada Kongres Maruah Melayu.

APA motif sebenar Kongres Maruah Melayu berbanding berapa banyak kongres tajuk yang sama sebelum ini?

Apa bezanya? Apa signifikannya? Itu pertanyaan ramai mengenai kongres yang akan bakal diadakan Ahad ini.

Bagi pembangkang, sudah pasti ia dilihat cuba ‘membayangi’ penyatuan ummah dan Muafakat Nasional antara UMNO-Pas baru-baru ini.

Malah ada setengah pihak sudah jemu dengan kongres menggunakan tema Melayu.

Bagi mereka, jika kertas resolusi kongres sedemikian dikumpul sejak Malaysia merdeka – ia sudah menjadi setinggi bukit namun ia tidak diaplikasi sepenuh hati sampai sekarang.

Itu belum dikira saranan cendiakwan, pemimpin masyarakat dan parti-parti politik Melayu sebelum ini.

Kebanyakan resolusi kata mereka, tidak ubah macam ‘mencurah air di daun keladi’ sahaja.

Namun kongres kali ini dilihat berbeza dalam iklim politik semasa dan tekanan-tekanan yang dihadapi umat Melayu.

Ia juga melibatkan amanat yang akan disampaikan oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Apa pun, menurut sumber, kongres kali merentasi parti politik, ia dibuat semata-mata demi ketuanan Melayu dan untung nasib bangsa itu pada masa depan.

Bukan sekarang tetapi untuk survival anak cucu nanti, katanya.

“Penyatuan ummah dulu hanya semi final, ini finale!” katanya.

Sementara itu, Ketua Eksekutif Sekreteriat Kongres Maruah Melayu, Prof Zainal Kling menafikan institusi pengajian tinggi awam yang menjadi menjadi ‘alat’ kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) menganjurkan kongres berkenaan.

Mahathir dijemput atas kapasiti perdana menteri bukan Pengerusi PPBM.

Ia tidak melibatkan ahli politik sebaliknya mereka hanya dijemput, katanya.

“Kita tidak terima penganjuran ini untuk diperalatkan orang lain tetapi terima tugas dan tanggungjawab sebab di universiti sudah lama ada kajian mengenai masyarakat dan kebudayaan Melayu.

“Kita jemput semua golongan politik bersama untuk menggabungkan pemikiran mereka di atas satu platform yang neutral,” kata Zainal.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bersedia untuk hadir dan mendapat restu partinya manakala Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi juga dikatakan sudah menerima jemputan.

Bak kata sumber, kongres kali ini diharap bukan sekadar ‘panas kopi dalam cawan’ tetapi mungkin datang dengan cadangan yang berani dan wajib dilaksanakan pimpinan negara demi masa depan orang Melayu.

Satu lagi, katanya, ia akan memastikan hak-hak Melayu dalam perlembagaan terus kekal dan tidak boleh diuji lagi kekebalannya.

Nampak sukar tetapi ini adalah masanya, katanya lagi.

Apa pun, ramai ternanti-nanti apa isi amanat Mahathir dan apa resolusi Kongres Maruah Melayu kali ini.- MalaysiaGazette