Home Ekonomi Pasaran ekuiti tempatan di landasan positif, kata CEO Bursa

Pasaran ekuiti tempatan di landasan positif, kata CEO Bursa

Muhamad Umar Swift

KUALA LUMPUR – Pasaran ekuiti tempatan berada di landasan yang positif, terutamanya bagi saham bermodal kecil dan sederhana, walaupun prestasi FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) tidak berubah pada masa ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia Datuk Muhamad Umar Swift berkata, jualan besar-besaran jangka pendek itu disebabkan pelbagai faktor, termasuk ketidaktentuan global yang diwujudkan oleh perang perdagangan antara Amerika Syarikat dan China yang berterusan.

“Bagaimanapun, jika kita lihat dari perspektif jangka sederhana dan panjang, pasaran akan meningkat semula dan kembali kukuh,” katanya kepada Bernama.

Dalam negara, katanya, pasaran ekuiti tempatan akan terus menggalakkan dalam kalangan pelabur asing berikutan Malaysia mempunyai asas ekonomi yang kukuh dan unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang baik.

“Ini menunjukkan permintaan pasaran dan asas ekonomi kukuh,” katanya.

Sehingga tahun ini, saham bermodal kecil meningkat 12.95 peratus untuk ditutup kepada 13,015.05 mata semalam manakala saham bermodal sederhana naik 17.24 peratus kepada 14,057.24 semasa ditutup.

Beliau berkata pelaburan dalam ekuiti bergantung kepada minat pelabur untuk mengambil risiko, yang mencari sama ada pulangan selamat atau pelaburan dengan risiko tinggi.

“Sebahagiannya akan melabur dalam amanah pelaburan hartanah untuk pulangan selamat manakala sebahagiannya akan memilih derivatif untuk risiko tinggi,” katanya.

Terdapat lebih 900 syarikat disenaraikan di Bursa Malaysia manakala pelaburan asing dalam pasaran ekuiti sebanyak 22 peratus.

Ditanya mengenai kemungkinan penyenaraian sebuah lagi anak syarikat Petronas di bursa tempatan, Umar berkata langkah itu akan memberi sokongan untuk meningkatkan permintaan pasaran tempatan dan mendapatkan tarikan yang kukuh dalam kalangan pelabur.

“Kami gembira dengan peluang ini. Kami positif terhadap prospek pasaran berikutan asas kita yang kukuh, disokong oleh pertumbuhan ekonomi yang stabil dan prospek ekonomi masa depan,” katanya.

Jumaat lepas, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata kerajaan sedang mengkaji kemungkinan penyenaraian satu daripada anak syarikat Petronas, termasuk Petronas Carigali, untuk menjadikan Bursa Malaysia lebih menarik. – MalaysiaGazette