Home Politik PH adakan mesyuarat bincang strategi pertahan Tanjung Piai – Muhyiddin

PH adakan mesyuarat bincang strategi pertahan Tanjung Piai – Muhyiddin

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin diiringi Ketua Setiausaha KDN, Tan Sri Alwi Ibrahim (Kiri) dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador (kanan) bercakap pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Dasar Keselamatan dan Ketenteraman Negara di Kementerian Dalam Negeri, Putrajaya. foto HAZROL ZAINAL, 03 OKTOBER 2019

PUTRAJAYA – Pakatan Harapan (PH) akan mengadakan Mesyuarat Jawatankuasa Pilihanraya di Muar, Johor esok bagi membincangkan strategi dan gerak kerja bagi mempertahankan kerusi Parlimen (P165) Tanjung Piai, pada Pilihan Raya Kecil (PRK) kawasan itu November depan.

Perkara itu dinyatakan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung persediaan parti itu bagi menghadapi PRK Tanjung Piai.

“Esok saya akan berada di Muar dan mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pilihanraya Pakatan Harapan.

“Di situ kita akan susun betul-betul yang penting bagi memastikan keberkesanan jebtera kerana ini melibatkan pemimpin negeri dan pusat,” katanya dalam sidang media selepas menemani Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bagi merasmikan Dasar Keselamatan dan Ketenteraman Awam (DKKA), di Auditorium Kompleks D, Kementerian Dalam Negeri (KDN), hari ini.

Ditanya mengenai senarai calon yang akan mewakili Bersatu, Muhyiddin berkata pihaknya masih memperincikan senarai calon bagi memastikan calon yang akan diketengahkan diterima pengundi.

“Kita telah tengok ramai calon-calon tapi masih ada masa lagi jadi ini akan diperhalusi dengan cara yang sebaik mungkin supaya calon yang kita pilih itu diterima oleh pengundi-pengundi dikawasan itu.

“Yang boleh bertanding seorang sahaja, senarai calon banyak,” katanya lagi.

Muhyiddin berkata, Bersatu akan mewakili PH berbanding di kerusi berkenaan disebabkan dasar yang diterima pakai pada Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14) lalu.

Ini kerana menurut Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, DAP tidak akan menuntut balik kerusi parlimen Tanjung Piai daripada Bersatu.

Malah Guan Eng berkata, Tanjung Piai tidak ada kaitan dengan DAP.

Selasa lalu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berkata PRK Parlimen Tanjung Piai, Johor akan diadakan pada 16 November, sementara tarikh penamaan calon ditetapkan pada 2 November manakala pengundian awal akan diadakan pada 12 November depan.

PRK Tanjung Piai perlu diadakan berikutan kematian penyandangnya Datuk Dr Md Farid Md Rafiq, 42, yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri pada 21 September lalu berikutan komplikasi jantung.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), Dr Md Farid, seorang pakar bius, daripada Pakatan Harapan-Bersatu memenangi kerusi Parlimen itu dengan majoriti 524 undi.

Allahyarham yang juga Timbalan Ketua Bersatu Bahagian Tanjung Piai memperoleh 21,255 undi menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Wee Jeck Seng (BN dan Nordin Othman (Pas).

Jeck Seng memperoleh 20,731 undi manakala Nordin, 2,962 undi. -MalaysiaGazette