Home Nasional Media diminta jangan promosi pemimpin tak guna bahasa Melayu – Ahmad Murad

Media diminta jangan promosi pemimpin tak guna bahasa Melayu – Ahmad Murad

Ahmad Murad Merican

KUALA LUMPUR – Para pengamal media khususnya media elektronik yang menerbitkan berita dalam bahasa Melayu diminta jangan sesekali membantu mempromosikan bahasa lain selain bahasa kebangsaan, meskipun kenyataan atau wawancara daripada seorang pemimpin.

Teguran itu dibuat oleh Profesor di Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam (Istac-Universiti Islam Antarabangsa Malaysia), Prof. Datuk Dr Ahmad Murad Merican yang menyifatkan penggunaan bahasa lain bagi media-media berbahasa Melayu tidak membantu memartabat dan menyemarakkan Bahasa Kebangsaan, sebaliknya menjejaskan pembinaan negara bangsa.

Tegasnya, walaupun negara ini tidak mengamalkan paksaan untuk berbahasa Melayu dalam kehidupan harian tetapi apabila kenyataan yang dibuat oleh pemimpin ada berkaitan dengan rakyat dan negara, sewajarnya pemimpin itu menggunakan bahasa Melayu.

Tiada alasan bagi mana-mana pemimpin di Malaysia tidak boleh berbahasa Melayu dengan baik kerana bahasa tersebut adalah Bahasa Kebangsaan dan termaktub dalam Perlembagaan.

“Kalau ada pemimpin yang bercakap dalam bahasa lain, selain bahasa Melayu untuk stesen-stesen televisyen, penerbit di stesen televisyen sewajarnya tidak mengeluarkan kenyataan itu, sebaliknya menggunakan suara latar belakang (voice over) atau menggunakan sarikata sahaja.

“Tak perlu membenarkan mereka mempromosikan bahasa lain-lain kalau stesen televisyen benar-benar mahu memartabatkan bahasa Melayu,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Ahmad Murad sebelum itu menerusi akaun Facebooknya menegur stesen TV3 kerana membenarkan pertuturan bahasa Mandarin oleh Teo Nie Ching, Timbalan Menteri Pendidikan dalam siaran berita Bahasa Melayu.

Sebagai seorang sarjana, Ahmad Murad berpandangan, tidak kira hebat mana pun sesuatu kenyataan yang dikeluarkan, waima berita yang menggoncang dunia sekali pun, tetapi kalau ia tidak buat dalam bahasa Melayu, apatah lagi dikeluarkan dalam stesen televisyen atau radio yang menggunakan medium bahasa Melayu, berita atau kenyataan tersebut tiada nilainya.

“Ini pendirian saya dari dahulu. Pada saya untuk mendaulatkan bahasa Melayu bukan sekadar meraikan Bulan Bahasa Melayu, Penganugerahan Tokoh Bahasa Melayu atau mengeluarkan surat arahan meminta universiti, agensi kerajaan menggunakan bahasa Melayu dalam urusan harian seperti yang diperuntukan akta, tetapi perlu ada pendidikan awam supaya orientasinya berterusan.

“Sebab itu, saya katakan kita perlulah Tribunal atau Ombudsman yang boleh memantau isu-isu membabitkan bahasa Melayu. Tribunal ini boleh menegur, mencela dan mengeluarkan amaran apabila wujud kesalahan- kesalahan tidak memartabatkan bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan,” katanya lagi.

Beliau turut melahirkan rasa kesal kerana isu-isu mempromosi bahasa lain pada tempat yang salah tidak ditegur oleh pejuang-pejuang bahasa dan Dewan Bahasa dan Pustaka.

“Saya faham kalau menteri tidak membuat teguran kerana menteri-menteri pun guna bahasa Melayu pasar tetapi manakah peranan yang lain?,” ujarnya.

Menurut Ahmad Murad lagi, jika perkara-perkara begini tidak diperbaiki dan tiada inisiatif untuk mengubahnya, maka tiada nilainya menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. bagus juga tu. tempat komen pun kalau tulis bahasa lain diruang bahasa melayu jangan disiarkan .

Comments are closed.