KUALA LUMPUR – RAM Rating Services Bhd (RAM Ratings) menjangkakan prestasi pertumbuhan eksport dan import Malaysia kekal tidak memberangsangkan masing-masing pada -0.1 peratus dan -6.4 peratus pada Ogos.
Dalam kenyataan, agensi penarafan itu berkata ia sekali gus akan mengurangkan lebihan jumlah perdagangan sebanyak RM6.5 bilion berikutan kelembapan prestasi perindustrian dan perdagangan global pada bulan yang sama.
Ketua Penyelidikan RAM Ratings, Kristina Fong berkata rundingan Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) yang turut disertai Malaysia dijadualkan dimuktamadkan menjelang akhir tahun ini.
“Galakan utama untuk menjadi sebahagian daripada perjanjian perdagangan ini terletak pada potensi untuk menyelesaikan kesan ‘spaghetti bowl’ ekoran pertindihan perjanjian perdagangan bebas sedia ada, dengan menyeragamkan peraturan dan prosedur dalam kalangan anggotanya.
“Dengan penetapan peraturan yang lebih seragam bagi perjanjian perdagangan ini, aliran perniagaan boleh dipertingkatkan lagi melangkaui sebarang pelarasan teliti ke atas tarif yang mungkin diperkenalkan,” katanya dalam kenyataan itu.
RAM Ratings berkata Malaysia telah mempunyai perjanjian perdagangan sedia ada dengan negara yang merundingkan RCEP justeru itu ia seharusnya meredakan kebimbangan mengenai ancaman ke atas daya saing syarikat domestik memandangkan tarif import berpotensi dikurangkan berdasarkan perjanjian perdagangan baharu ini.
“Mengikut perjanjian semasa, tarif import Malaysia telah berada pada atau hampir sifar, sekali gus mengehadkan kesan penggantian import yang ketara,” menurut agensi itu. – MalaysiaGazette